kontroversi SRC
Mohammad Nizar Najib

KUANTAN – Anak sulung Datuk Seri Najib Razak mengingatkan Ahli Parlimen DAP, Yeo Bee Yin supaya jangan riak sangat dengan kenyataan yang dikeluarkan terhadap bapanya.

Datuk Mohammad Nizar Najib berkata, nasib kita pada masa depan pun tidak tahu lagi.

“Schadenfreude. Ada satu Perkataan dalam Bahasa Jerman.

“Ertinya meraikan nasib tidak baik atau kesusahan dialami orang lain.

“Jangan riak sangat YB. Nasib kita sendiri di masa akan datang belum tahu lagi,” katanya di Facebook miliknya.

Komen itu susulan kenyataan kenyataan Bee Yin berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Najib Razak hari ini.

Najib diperintahkan untuk menjalani baki hukumannya di Penjara Kajang seperti yang telah ditetapkan sebelum ini.

Keputusan Mahkamah Tinggi dibuat selepas Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan Titah Adendum tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.

Dalam satu kenyataan berasingan, Nizar berkata, beliau kecewa dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang menolak semakan kehakiman difailkannya bapanya bagi memaksa kerajaan dan enam yang lain melaksanakan Titah Adendum.

Menurut Nizar, kekecewaan mereka sekeluarga apabila mahkamah mengenepikan titah berkenaan tanpa rasa belas ihsan dan keadilan.

“Keputusan hari ini amat mengecewakan dan melukakan hati kami sekeluarga apabila titah adendum melibatkan ayahanda saya, Datuk Seri Najib Tun Razak, terus dipertikaikan dan tidak dilaksanakan sewajarnya,

“Seolah-olah satu titah boleh diketepikan tanpa rasa ihsan dan keadilan.

“Kami tidak menuntut keistimewaan, hanya menuntut penghormatan terhadap titah yang telah dizahirkan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya.

Nizar percaya kebenaran serta keadilan tidak akan selama-lamanya disenyapkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast