Yeo Bee Yin.

KUALA LUMPUR – Wanita UMNO Selangor menyelar keras Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan merangkap Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin berhubung kenyataan terkait keputusan mahkamah yang menolak permohonan tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurut kenyataan media dikeluarkan hari ini, ketuanya, Datuk Halimaton Saadiah Bohan berkata, sayap itu menyifatkan hantaran berkenaan sebagai biadab serta memperlihatkan seolah-olah rasa senang dan meraikan keputusan mahkamah selain turut melibatkan beberapa pemimpin DAP lain.

“Tindakan sedemikian bukan sahaja mencerminkan sikap biadap dan kurang ajar malah menunjukkan kegagalan memahami sensitiviti politik serta prinsip asas kerjasama dalam sebuah Kerajaan Perpaduan,” kata Halimaton Saadiah.

Beliau turut berkata, Wanita UMNO Selangor menegaskan, perbuatan tersebut jelas bertentangan dengan semangat saling menghormati yang sepatutnya menjadi teras hubungan antara parti-parti komponen dalam kerajaan.

Perbezaan pandangan politik tidak pernah menghalalkan sikap memperlekeh, mempersenda atau mempamerkan kegembiraan terhadap musibah politik dan peribadi pihak lain, lebih-lebih lagi melibatkan seorang bekas Perdana Menteri.

“Wanita UMNO Selangor ingin menegaskan perbezaan pandangan politik tidak pernah menghalalkan sikap memperlekeh, mempersenda atau mempamerkan kegembiraan terhadap musibah politik dan peribadi pihak lain,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, Wanita UMNO Selangor berpandangan sudah sampai masanya pucuk pimpinan UMNO menilai secara serius, tegas dan berprinsip bentuk serta hala tuju kerjasama UMNO-Barisan Nasional dengan DAP-Pakatan Harapan.

Halimaton Saadiah juga berkata, kerjasama politik tidak boleh dibina atas sikap angkuh, ketiadaan empati dan kegagalan menghormati rakan sendiri dalam gabungan kerajaan.

“Sekiranya rasa hormat tidak lagi wujud, maka kerjasama ini akan sentiasa rapuh dan menyukarkan sebarang keputusan penting dibuat secara bersama demi kestabilan Kerajaan dan kepentingan rakyat,” katanya.

Dalam masa sama, Wanita UMNO Selangor menzahirkan sokongan terhadap sebarang keputusan politik yang bakal diambil parti akan berpaksikan suara akar umbi dan mempertahankan maruah serta prinsip UMNO.

Semalam, Setiausaha Publisiti DAP yang juga Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin bertindak memuatnaik hantaran ‘Another reason to celebrate this year end (satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini)’ bersama pautan berita sebuah portal bertajuk ‘No house arrest for Najib’ (tiada tahanan rumah untuk Najib).

Hantaran itu dimuat naik beberapa jam selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching pagi tadi memutuskan Titah Adendum tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.

Antara yang menegur tindakan Bee Yin adalah Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast