JOHOR BAHRU – Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) meletakkan sasaran nilai jualan RM9.8 juta sempena penganjuran Festival Kraf Johor 2025 (FKJ 2025) di Angsana Mall di sini dari 18 hingga 29 Disember ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata, pihaknya yakin sasaran tersebut mampu direalisasikan berdasarkan sambutan memberangsangkan serta kepelbagaian produk kraf berkualiti tinggi yang ditawarkan pada harga berpatutan.
Menurut beliau, dalam tempoh empat hari pertama penganjuran, nilai jualan sudah mencecah RM3.6 juta hasil sumbangan lima sektor utama kraf iaitu tekstil, hasil rimba, hasil logam, hasil tanah dan aneka kraf.
“Festival selama 12 hari ini disertai oleh 251 usahawan kraf selain pengusaha makanan warisan tempatan dengan sokongan lima agensi iaitu Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Tourism Malaysia Wilayah Selatan, Tourism Johor, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan Galeri Aura Islam.
“FKJ 2025 turut berperanan sebagai platform jaringan strategik yang mempertemukan usahawan kraf dengan pembeli tempatan termasuk syarikat pengeksport kraf, agensi kerajaan, pengusaha hotel serta pengurusan pusat beli-belah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sesi Jelajah Mesra Festival Kraf Johor di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Kraftangan Malaysia, Mohd Al-Hafizi Ab Bakar dan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Datuk Ainu Sham Ramli.
Shaharuddin berkata, FKJ 2025 mengetengahkan pelbagai aktiviti interaktif dan berimpak tinggi termasuk sesi padanan perniagaan, jualan kraf oleh usahawan dan komuniti kraf, demonstrasi kraf oleh adiguru serta pameran khas Jom Masuk IKN.
Selain itu katanya, pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan kebudayaan, program perkongsian ilmu serta aktiviti galakan pengunjung seperti permainan tradisional antaranya gasing petik, chapteh, dam, congkak, kercang dan batu seremban.
Pelbagai pertandingan turut dianjurkan termasuk Fashionista Batik Malaysia, Kompang Tradisi dan pertandingan nyanyian, katanya lagi.
“Pengunjung juga berpeluang menyaksikan secara dekat demonstrasi pembuatan kraf seperti wau merak Johor, gendang kempling, jong, gasing serta anyaman buluh.
“Aktiviti ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada masyarakat, malah membuka ruang untuk memahami kehalusan seni dan teknik pembuatan kraf tempatan,” katanya.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa festival itu mampu menarik kehadiran sehingga 100,000 pengunjung sepanjang tempoh penganjurannya.- MalaysiaGazette
















