KUALA LUMPUR – Pengarah Hydroshoppe Sdn. Bhd., Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh yang pasportnya ditahan kerana pertuduhan rasuah dibenar menghadiri persidangan serta pameran pertahanan dan aeroangkasa di Qatar, Singapura dan Australia.
Abdul Hamid, 51, dibenar keluar negara selepas Mahkamah Sesyen di sini memulangkan sementara pasportnya hari ini dan diserahkan semula pada atau sebelum 16 Februari tahun depan.
Bagaimanapun, dia dikehendaki hadir ke mahkamah untuk sebutan kes pada 21 Januari 2026.
Seterusnya pasport akan diserahkan sementara kepada pemohon pada 15 April 2026 dan dikembalikan sebelum atau pada 5 Jun 2026.
Hakim Suzana Hussin membenarkan permohonan peguam Chetan Jethwani yang memaklumkan perkara itu dipersetujui oleh pihak pembelaan dan pendakwaan.
Prosiding hari ini dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Elya Amira Habeeb Rahman Muhammad dan Pegawai Pendakwa SPRM, Muhamad Taufik Awaludin.
Pada 5 April 2023, Abdul Hamid Shaikh didakwa menawarkan suapan menerusi Datuk Tan Ser Lay, 60, sebagai dorongan kepada Tan Sri Annuar Musa yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika itu untuk mempercepat proses pengambilalihan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara Kuala Lumpur oleh syarikat berkenaan.
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Putrajaya antara Julai dan Ogos 2022.
Pertuduhan mengikut Seksyen 16(6)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Sementara itu, Hydroshoppe juga didakwa atas pertuduhan sebagai organisasi komersial melakukan kesalahan bersekutu dengan tertuduh menawarkan suapan itu kepada Tan bagi faedah Annuar dengan niat yang sama, di lokasi dan pada tarikh serupa.
Pertuduhan mengikut Seksyen 17A(1)(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 17A(2) akta sama yang membawa hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM1 juta, mengikut mana lebih tinggi atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya. – MalaysiaGazette
















