Nor Ain Aliya Muhamad mendayung bot untuk ke gerai makan milik neneknya di Kampung Temai Tengah, Pekan hari ini

PEKAN – Nampak merbahaya tetapi sudah menjadi kebiasaan buat seorang remaja berusia 15 tahun, Nor Ain Aliya Muhamad mendayung bot berseorangan dari rumah ke gerai makan pagi yang diusahakan neneknya sejauh kira-kira 200 meter.

Menurut gadis itu, kawasan hadapan rumah mereka yang sedikit cerun masih digenangi banjir setinggi kira-kira 2 meter, manakala jalan alternatif keluar masuk yang berhampiran juga katanya masih dipenuhi air meskipun selepas seminggu banjir melanda kawasan di sini.

“Air ni memang ampuh kepala, kalau jatuh bahaya. Tapi, dah biasa. Kalau banjir, memang kena naik bot untuk ke gerai depan tu.

“Tapi kalau tengok keadaan air ni, mungkin lagi seminggu baru surut sepenuhnya. Itu pun kalau hari tak hujan,” katanya bersahaja sambil mendayung bot milik keluarga mereka.

Nor Ain Aliya Muhamad

Nor Aina memberitahu, banjir di cerun hadapan rumahnya itu masih setinggi kira-kira 2 meter dan dia boleh tenggelam jika terjatuh bot tersebut.

Neneknya bernama, Zawiyah Harun, 74 pula memberitahu, situasi itu sudah menjadi kebiasaan buatnya kerana telah mengalaminya sejak puluhan tahun lepas lagi.

Dia bagaimanapun bersyukur kerana cucunya itu membantu dia di rumah dan di gerai makan pagi yang diusahakannya sejak hampir 10 tahun lepas.

“Kadang-kadang banjir ni boleh sampai dua hingga tiga kali setahun. Sudah biasa. Sebab tu sekitar 10 tahun lepas arwah suami tinggikan rumah ni. Tapi rumah sebelah dan kawasan luar tu memang naik air lah.

“Memang selalu pesan supaya dia (Nor Aina) hati-hati naik bot tu. Tapi dia dah biasa,” katanya lagi.

Bercerita mengenai pengalamannya ketika banjir baru-baru ini pula, dia memberitahu tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara kerana rumahnya tidak dinaiki air.

Dia yang tinggal di rumah itu bersama Nor Aina, seorang anak dan seorang lagi cucu juga sudah membuat persiapan awal kerana menjangkakan bencana itu berlaku.

Zawiyah Harun dan cucunya, Nor Ain Aliya Muhamad di hadapan rumah mereka yang masih dinaiki air di Kampung Temai Tengah, Pekan

Terdapat 140 penduduk yang tinggal di Kampung Temai Tengah, 262 penduduk di Kampung Temai Hulu dan 251 penduduk di Kampung Temai Hilir yang terletak bersebelahan dengan Lembangan Sungai Pahang.

Difahamkan, mangsa banjir di daerah ini sudah dibenarkan pulang dan semua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sudah ditutup.

Namun, ketika tinjauan MalaysiaGazette, masih terdapat rumah penduduk di Temai Tengah yang ditenggelami banjir kerana air limpahan Sungai Pahang yang berhampiran masih belum surut sepenuhnya.

Masjid Jamek Mukim Temai masih digenangi air ketika tinjauan MalaysiaGazette di sini hari ini

Selain rumah penduduk, antara kawasan yang masih terkesan sejak dilanda banjir lebih seminggu lepas ialah Masjid Jamek Mukim Temai dan SK Temai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast