KUALA LUMPUR – MCA tidak boleh lagi terus selesa bersembunyi di bawah bayang-bayang parti komponen lain.
Sebaliknya parti itu perlu membina kekuatan jati diri yang lebih nasional jika mahu kembali memenangi hati rakyat pada pilihan raya umum akan datang, kata Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong.
Menurutnya, era kepimpinan yang hanya mengharapkan rakan sekutu seperti UMNO untuk mendekati orang Melayu atau MIC untuk bertemu masyarakat India perlu dinoktahkan segera.
“Pemimpin MCA hari ini tidak lagi mempunyai alasan untuk gagal berkomunikasi dengan semua lapisan masyarakat selepas lebih 60 tahun negara mencapai kemerdekaan.
“Kita tidak boleh lagi ibarat katak di bawah tempurung, jangan lagi ada persepsi kalau nak cakap dengan orang Melayu kita harapkan UMNO. Tidak ada lagi.
“Sebagai pemimpin, kalau saya masih gagal menyampaikan mesej kepada rakyat dengan baik maka saya tidak layak dipanggil pemimpin,” katanya menerusi program Podcast MG terbitan MalaysiaGazette.
Beliau turut mengakui dengan kedudukan politik MCA yang hanya memegang dua kerusi sedang berada dalam fasa pemulihan yang mencabar.
“Kalau dikiran dari segi kerusi, kuasa politik kami memang lemah, MCA ada dua kerusi Parlimen sahaja tetapi hakikatnya MCA sejak daripada 2022 sebelum itu 2018 pun saya nampak usaha ke arah nak membina semula kekuatan.
“Kita sebenarnya ada penambahan kerusi, ada dua kerusi DUN di Melaka, empat kerusi DUN di Johor dan ada satu kerusi DUN di Perak.
“Secara realistik, kerusi kita memang lemah tetapi dari aspek kepimpinan, kita sedang membina semula kekuatan. Saya mahu melihat MCA yang lebih berwibawa supaya orang Cina kembali memberi kepercayaan,” katanya.
Jelasnya lagi, perubahan bukan boleh berlaku dalam masa satu hari tetapi pihaknya sudah mula menampakkan hasil melalui penglibatan pemimpin muda yang lebih kreatif dan selari dengan aspirasi rakyat.
“Adakah MCA mahu terus dianggap dan dicaci sebagai biawak hidup dalam mana-mana jajaran politik?
“Sudahlah kita selepas PRU-15, Lokman Adam menyebut MCA sebagai ‘biawak hidup’ dan itulah kali pertama saya dijemput ke MalaysiaGazette dengan Haslina jugalah untuk membalas kritikan tersebut.
“Saya berjanji kepada diri saya dan di depan kamera, saya tidak mahu melihat selagi saya ada bersama MCA, saya tidak mahu melihat MCA dihina sekali sebegitu rupa lagi,” ujarnya. -MalaysiaGazette
















