KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) Perlis bersedia sepenuhnya untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuk pilihan raya kecil (PRK) di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) melibatkan wakil rakyat Pas yang ditamatkan keahlian parti itu.
Pengerusi Amanah Perlis, Wan Kharizal Wan Khazim berkata, pihaknya bersama-sama gabungan Pakatan Harapan (PH) negeri dan Barisan Nasional (BN) akan mengadakan perbincangan dalam masa terdekat bagi menyelaras pendirian dan tindakan selanjutnya, selaras dengan perkembangan isu semasa.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi PH Perlis menambah, sebagai sebuah parti yang menjunjung kestabilan politik dan kepentingan rakyat, pihaknya menyeru seluruh rakyat negeri Perlis agar kekal bertenang, berfikir secara rasional dan tidak terpengaruh dengan sebarang spekulasi yang boleh menambah keresahan awam.
“Amanah Perlis turut mengajak semua pihak untuk berdoa agar kemelut politik yang sedang berlaku ini dapat diselesaikan dengan sebaik-baiknya, demi kebaikan negeri dan kesejahteraan rakyat, serta menghasilkan keadaan yang lebih baik dan stabil berbanding situasi sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN
https://malaysiagazette.com/2025/12/25/terdapat-keperluan-adakan-prk-speaker-dun-perlis/
Dalam sidang akhbar hari ini, Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan memaklumkan, tiga kerusi DUN Perlis perlu diisi semula menerusi pelaksanaan PRK demi kestabilan kerajaan negeri dalam memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.
Ia susulan keputusan Mesyuarat Khas Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang bersidang di Pejabat Presiden Pas di Rusila, Marang, Terengganu malam tadi, yang memutuskan keahlian tiga ADUN Pas Perlis terhenti serta-merta.
Tiga ADUN terbabit ialah Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).
Keputusan itu susulan tindakan mereka yang didakwa menandatangani akuan bersumpah (SD) menarik sokongan terhadap Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, sekali gus disifatkan boleh menjejaskan kepimpinan kerajaan negeri.
Sementara itu, Wan Kharizal berkata, pihaknya mengambil maklum perkembangan terkini politik negeri itu susulan pengumuman yang dibuat oleh Rus’sele hari ini.
“Amanah Perlis akan terus memantau dan mengikuti rapat perkembangan seterusnya berhubung situasi semasa ini dengan penuh tanggungjawab dan berlandaskan prinsip demokrasi serta Perlembagaan,” katanya. – MalaysiaGazette
















