Mohd Shukri Ramli. -Foto: FB Mohd Shukri Ramli

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli menyifatkan tindakan yang diambil Pas Pusat terhadap tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu di negeri tersebut membuktikan bahawa prinsip, disiplin dan amanah perjuangan sentiasa dijunjung tinggi.

Malah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang itu turut menyifatkan perkara tersebut mempunyai hikmahnya.

“Semoga Allah bantu dengan kebaikan dunia dan akhirat,” kataya ringkas menerusi laman sosial Facebook beliau malam tadi.

Malam tadi, Mesyuarat Khas Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang bersidang di Pejabat Presiden Pas di Rusila, Marang, Terengganu memutuskan keahlian tiga ADUN Pas Perlis terhenti serta-merta.

Tiga ADUN terbabit ialah Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).

Keputusan itu susulan tindakan mereka yang didakwa menandatangani akuan bersumpah (SD) menarik sokongan terhadap Mohd Shukri, sekali gus disifatkan boleh menjejaskan kepimpinan kerajaan negeri.

Sehubungan itu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pihaknya akan memaklumkan keputusan tersebut secara rasmi kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Perlis bagi memenuhi peruntukan Perkara 50A(1)(a)(ii) Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2022.

Media sebelum ini melaporkan keadaan politik di Perlis bergolak selepas terdapat dakwaan wujud usaha menyingkirkan Mohd Shukri sebagai Menteri Besar.

Memetik sumber, seramai lima ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan tiga daripada Pas didakwa telah menyerahkan SD kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, bagi menyatakan hilang keyakinan terhadap Mohd Shukri. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast