KUALA LUMPUR – Suspek utama kes pembunuhan Suri Narudin yang mayatnya ditemukan dalam sebuah beg di belakang rumah tinggal di Kampung Batu 4, Pedas, Negeri Sembilan pada 18 Disember lalu, akan dihadapkan ke mahkamah ke esok.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, lelaki berusia 51 tahun itu akan dituduh membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Tampin.
Manakala lelaki berusia 41 tahun yang ditahan sebelum itu akan diletakkan sebagai saksi pendakwaan, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Alzafny menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menganggu proses perundangan.
ARTIKEL BERKAITAN
https://malaysiagazette.com/2025/12/24/sah-mayat-dalam-beg-adalah-suri-narudin/
Semalam, Alzafny mengesahkan identiti mayat wanita yang ditemukan dalam beg di sebuah rumah tidak berpenghuni Kampung Batu 4, Rembau pada 18 Disember lalu adalah Suri Narudin yang dilaporkan hilang pada 15 Disember lalu di Ampang, Selangor.
Katanya, pengesahan itu diperoleh hasil pemeriksaan dan perbandingan cap jari yang dijalankan oleh pihak polis dengan sistem data di Jabatan Pendaftaran Negara.
Selain itu, pihaknya turut menerima laporan analisis DNA (Deoxyribonucleic Acid) daripada Jabatan Kimia Malaysia yang menunjukkan hubungan kekeluargaan dengan ahli keluarga wanita terbabit. – MalaysiaGazette
















