Ahmad Fadhli Shaari.

KUALA LUMPUR – Kegagalan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengambil tindakan terhadap lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perlis dibimbangi boleh menjadi isyarat parti itu sudah tidak berminat menjalin kerjasama politik dengan Pas dalam Perikatan Nasional (PN).

Sehubungan itu, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menggesa Bersatu segera mengambil tindakan tegas kepada lima ADUN parti tersebut yang menyatakan hilang kepercayaan kepada Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli sebelum ini.

“Kegagalan berbuat demikian dibimbangi boleh menjadi isyarat bahawa BERSATU sudah tidak berminat untuk menjalinkan kerjasama politik dengan PAS di dalam Perikatan Nasional,” katanya ringkas menerusi laman sosial Facebook beliau malam tadi.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2025/12/25/pas-harap-bersatu-ambil-tindakan-tegas-5-adun-perlis-tanda-tangan-sd-tuan-ibrahim/

Terdahulu, gesaan supaya Bersatu bertindak terhadap lima ADUN parti itu yang terlibat menandatangani akuan bersumpah (SD) sehingga mencetuskan suasana tidak harmoni di Perlis turut disuarakan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurut Tuan Ibrahim, tindakan sedemikian penting sebagai tanda hormat kepada rakan komponen dalam PN serta bagi memastikan disiplin dan keutuhan gabungan terus terpelihara.

Politik di Perlis bergolak selepas terdapat dakwaan wujud usaha menyingkirkan Mohd Shukri menerusi tindakan lapan ADUN, masing-masing tiga daripada Pas dan lima daripada Bersatu yang menandatangani SD menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar Perlis berkenaan.

Susulan itu, Pas mengumumkan menamatkan keahlian tiga ADUN terlibat serta-merta iaitu Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).

Bagaimanapun, tiada kenyataan yang dibuat mana-mana pemimpin Bersatu susulan konflik politik di Perlis itu sehingga kini.

Kemuncak kepada konflik itu juga menyaksikan Mohd Shukri semalam membuat pengumuman melepaskan jawatan Menteri Besar atas faktor kesihatan yang tidak mengizinkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast