JOHOR BAHRU – Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) Johor menahan 18 individu termasuk tiga penjawat awam dalam satu operasi berkala di sebuah pusat hiburan di bandar raya ini malam tadi.
JAINJ dalam kenyataan memaklumkan, serbuan dilakukan pada kira-kira pukul 11. 30 malam ketika semua individu terbabit sedang berhibur dengan alunan muzik yang kuat sehingga tidak menyedari kehadiran anggota penguat kuasa.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada 14 warga tempatan dan empat wanita asing iaitu warga Singapura dan Indonesia yang beragama Islam. Turut ditangkap tiga orang penjawat awam.
“Dalam operasi berkenaan, kesemua yang ditahan didapati melakukan kesalahan minum arak di bawah Seksyen 19 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997.
“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali,” maklum kenyataan tersebut.
Tambahnya, kesemua tangkapan kemudian dibawa ke Pejabat Penguat Kuasa JAINJ bagi untuk siasatan lanjut.- MalaysiaGazette
















