KUALA LUMPUR – Krisis politik di Perlis yang hanya mempunyai satu kerusi pembangkang adalah bukti kegagalan besar Perikatan Nasional (PN) dalam mentadbir negeri.
Ketua Penerangan Pakatan Harapan (PH) Selangor, Abbas Azmi berkata, tidak mustahil krisis di Perlis, boleh merebak dan berlaku di tiga lagi negeri dikuasai PN iaitu Kedah; Kelantan dan Terengganu.
Membandingkan dengan Selangor, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang menambah, kerjasama PH dan UMNO/Barisan Nasional (BN) berjaya memastikan pentadbiran negeri itu diurus dengan baik dan kestabilan politik dijaga dengan kukuh.
“Atas semangat permuafakatan dan rasa tanggungjawab di atas amanah dan kepercayaan rakyat yang diberikan ketika pilihan raya negeri yang lepas, Kerajaan Negeri Selangor terus stabil dan memacu kejayaan demi kejayaan.
“Terbukti Kerajaan Perpaduan adalah sebuah kerajaan yang stabil dan memberi banyak faedah kepada rakyat Malaysia pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Abbas menggesa rakyat menilai semula kemampuan sebenar PN dalam menjaga amanah yang diberikan.
Tambahnya, adalah mengecewakan apabila rakyat Perlis yang membuat keputusan memilih PN sebagai parti memerintah, namun amanah itu gagal dijaga dengan baik.
Sementara itu, ujarnya, walau apa pun keputusan yang akan dibuat oleh Tuanku Raja Perlis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung konflik di negeri itu, rakyat perlu mengambil iktibar daripada apa yang telah berlaku.
“Apakah rakyat boleh mengharapkan lagi PN untuk menjaga negara sedangkan pada masa sama pentadbiran negeri Perlis yang kecil itu pun gagal diuruskan dengan baik,” katanya. – MalaysiaGazette
















