Penyokong yang hadir untuk memberi sokongan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mendengar keputusan kes akhir pembelaan yang berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan RM2.3 bilion dana 1MDB ketika di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 26 DISEMBER 2025.

PUTRAJAYA – Mahkamah Tinggi tidak percaya jumlah dana yang sebegitu besar dipindahkan ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak tanpa disertakan rekod akaun yang lengkap dan telus.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata, ketiadaan rekod rasmi bagi mengesahkan sumbangan dari Arab Saudi menjadikan mustahil untuk mengaitkan sumbangan itu sebagai derma politik yang sah.

Menurut beliau, walaupun wang tersebut didakwa sebagai sumbangan politik, ia tidak akan menghalalkan penggunaannya sekiranya ia berasal daripada sumber haram.

Ujarnya, mahkamah menegaskan bahawa tujuan penggunaan dana itu adalah kritikal, tanpa mengira niat yang didakwa sebagai sumbangan.

Hakim Collin selanjutnya mendapati, Najib yang ketika itu Presiden UMNO memimpin sebuah parti politik terbesar di Malaysia dalam sejarah sejak 1946.

“Mustahil bagi seseorang yang berjawatan Perdana Menteri, tidak menyimpan rekod akaun yang betul bagi sebuah parti yang kononnya menerima jumlah wang yang sedemikian besar,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika membacakan dapatan mahkamah dalam kes penyelewengan RM2.3 billion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan bekas Perdana Menteri.

Hakim Collin yang menangguhkan prosiding pukul 12.15 tengah hari, akan membaca penghakiman selanjutnya pukul 3 petang.

Bagi pertuduhan salah guna kedudukan, beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di ibu negara antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram pula didakwa dilakukan di antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama.

Bagi pertuduhan salah guna kuasa, Najib didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda hingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram pula, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. kalau kuasa raja tidak boleh membantu membebaskan DSNR maka keafilqn biarlah kuasa rakyat dan orang Melayu membantu menegakkan keadilan yang kami yakin ianya satu pengkhinatan ftnah dan niat jahat. Allah pasti akan memberi petunjuk

Comments are closed.