Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin

KUALA LUMPUR – Walaupun berdepan kemelut politik melibatkan perubahan kepimpinan dan sokongan dalam kerajaan negeri, suasana di Perlis dilihat kekal tenang tanpa kegusaran besar dalam kalangan rakyat.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, situasi politik yang berlaku tidak memberi kesan ketara kepada kehidupan seharian rakyat, malah dianggap biasa oleh masyarakat setempat.

“Ramai bertanya saya, Perlis okey ke? Saya tanya balik, kenapa? Mereka kata dengar kelam kabut pasal ahli politik tarik sokongan, ada yang dipecat dan Menteri Besar letak jawatan,” katanya sambil mengatakan situasi politik di Perlis tidak sama dengan negeri lain.

Dr Maza menjelaskan, suasana sesuatu tempat dibentuk oleh manusia yang hidup di tempat itu sendiri yang menyebabkan pengaruh kehidupan di Perlis mungkin berbeza dari sebahagian di tempat lain.

Tambah beliau, antara faktor utama yang membentuk suasana di Perlis ialah institusi Raja di negeri itu yang sangat menjaga serta mengambil berat kebajikan rakyat di samping sentiasa ‘berkawan’ dengan masyarakat.

Selain itu, keluarga diraja Perlis juga diketahui umum menjalani kehidupan sederhana, tidak bermewah berlebihan dan menggunakan institusi itu untuk mengaut kekayaan peribadi.

Beliau berpendapat, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail adalah faktor terpenting dalam mencorak negeri itu sehingga mencapai kejayaan hari ini.

Contoh yang dapat dilihat apabila baginda dengan perkenan Raja Perlis menggunakan kekuatan kewangan dan kepakaran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPS) untuk memastikan kebajikan rakyat di negeri itu terjaga.

Katanya, sekurang-kurangnya setiap minggu, kayuhan ‘MAIPs Peduli’ akan dilakukan sebanyak dua kali yang mana mereka akan memasuki setiap lorong di Perlis mencari rakyat yang susah.

Baginda juga menurut beliau, lebih tahu setiap denai dan alur di Perlis melebihi segala wakil rakyat yang ada.

“Untuk memberikan contoh, jika baginda ternampak bendera terbalik di lorong kampung pun, baginda akan minta segera dibetulkan. Bayangkan hal-hal yang lain. Dalam erti kata lain, majoriti rakyat Perlis apabila ingin meminta bantuan ‘teringat MAIPs dulu sebelum teringat YB’,” katanya lagi.

Tambah agamawan itu, selagi institusi diraja Perlis masih berfungsi seperti sekarang, rakyat tidak terlalu gusar walaupun berlaku pertukaran kerajaan atau pergolakan politik.

Ini kerana menurut beliau, politik datang dan pergi tetapi kebajikan rakyat tetap menjadi keutamaan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast