KUALA LUMPUR – Seorang pengguna Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala utara semalam berdepan detik cemas apabila sebuah treler 22 tayar tiba-tiba menghimpit kenderaan yang dipandunya di kilometer (KM) 453, pada Rabu lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor, kejadian tersebut dikesan menerusi rakaman video berdurasi 50 saat dan tular di TikTok baru-baru ini.
Jelasnya, ketika kejadian, lelaki tempatan berusia 53 tahun itu dalam perjalanan daripada Petaling Jaya menuju ke Country Homes, Rawang.
“Treler telah menghimpit K1 yang berada di Lorong tengah kemudian K3 telah masuk semula ke lorong kanan dan menekan brek secara mengejut mengakibatkan kenderaan K2 memberhentikan kenderaan secara mengejut,” katanya menerusi kenyataan.
Katanya, tindakan pemandu treler itu menyebabkan kereta berkenaan memberhentikan kenderaan secara mengejut.
Walaubagaimanapun ujarnya, tiada berlaku pelanggaran sebaliknya,
kenderaan mangsa mengalami kerosakan akibat bergesel dengan treler berkenaan.
Mohd Hafiz tidak menolak kejadian itu berpunca daripada pemanduan yang tidak berhemah.
Dalam masa yang sama beliau berkata, sehingga kini kenderaan yang terlibat dalam kejadian itu belum membuat laporan polis.
“Kes disiasat di Bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 di mana seseorang yang memandu secara melulu dan membahayakan kepada orang awam adalah melakukan suatu kesalahan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak melebihi daripada RM15,000,”tambahnya.-MalaysiaGazette
















