IED yang dipercayai digunakan dalam letupan di Desa Palma, Nilai, Negeri Sembilan, 22 Dis 2025 - Gambar media sosial

SEREMBAN – Polis menahan individu yang disyaki terlibat dalam kejadian letupan, yang berpunca daripada penggunaan bahan letupan buatan sendiri atau Improvised Explosive Device (IED) di kawasan Desa Palma, Nilai, di sini pada 22 Dis lepas.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata lelaki berusia 62 tahun itu ditahan di sekitar Mantin, petang tadi.

“Ya, lelaki itu sudah ditahan dan dihantar ke hospital kerana cedera, satu kenyataan akan dikeluarkan dalam masa terdekat berkaitan penahanan terbabit,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Semalam, Alzafny berkata suspek yang terlibat dalam kejadian itu dipercayai mempunyai pengetahuan teknikal dan kemahiran khusus dalam pembuatan bahan letupan berdasarkan penemuan peranti dan peralatan yang dirampas di rumah sewa lelaki berkenaan.

Polis turut menemukan 31 lagi IED di rumahnya dan polis telah memusnahkan semua bahan letupan berkenaan.

Pada Isnin lepas, beliau dilaporkan berkata pihaknya menemukan objek disyaki IED susulan kejadian letupan di kawasan Desa Palma, selepas menerima laporan orang awam yang memaklumkan terdapat objek meletup serta paku bertaburan di kawasan itu pada 7.08 pagi.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast