KUALA LUMPUR – Ketua Dewan Ulama Pas negeri, Ahmad Adnan Fadzil menyifatkan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas yang ditamatkan keahlian mereka tidak mengkhianati parti.
Malah, katanya, bekas Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli juga bukan pengkhianat parti, sebaliknya kesemua mereka adalah ahli-ahli yang setia di dalam Pas.
Menurutnya, krisis politik di Perlis berlaku apabila ada pihak yang gagal memainkan peranan sepatutnya sebelum ia menjadi kemelut seperti ketika ini.
Dalam masa sama, beliau turut mempertahankan Parti Prubumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim yang tidak terlibat dalam konflik politik di negeri itu.

“Siapa tidak tahu cerita sebenar tak usah meneka dalam kesamaran. Biar pimpinan dan mereka yang terlibat menyelesaikan kemelut ini dengan damai.
“Kekalkan kasih sayang sesama kita saudara muslim sebagaimana yang dikehehdaki Allah.
“Jadilah pendamai, bukan pengadu domba. Kehidupan bukan hanya di dunia, tetapi juga di akhirat. Selamatkan diri kita dari muflis di sana,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau semalam.
Sebelum ini, Mesyuarat Khas Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang bersidang di Pejabat Presiden Pas di Rusila, Marang, Terengganu memutuskan keahlian tiga ADUN Pas Perlis terhenti serta-merta.
Tiga ADUN terbabit ialah Saad Seman (Chuping); Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).
Keputusan itu susulan tindakan mereka yang didakwa menandatangani akuan bersumpah (SD) menarik balik sokongan terhadap Mohd Shukri yang disifatkan boleh menjejaskan kepimpinan kerajaan negeri. – MalaysiaGazette
















