KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan kerja-kerja pembersihan di sekitar Bukit Bintang.
DBKL berkata, usaha pembersihan merangkumi kutipan sisa yang ditinggalkan oleh gelandangan.
“Kerja-kerja pembersihan telah dilaksanakan di sekitar Bukit Bintang melibatkan penyapuan sampah, pembersihan laluan pejalan kaki serta kawasan tumpuan orang ramai.

“Usaha ini turut merangkumi kutipan sisa yang ditinggalkan oleh gelandangan bagi memastikan kawasan sentiasa bersih, selesa dan terjaga untuk kegunaan orang awam dan pelancong,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Baru-baru ini MalaysiaGazette melaporkan, Bukit Bintang dipenuhi dengan sampah sarap yang dibuang pada malam perayaan Hari Natal, baru-baru ini.
Susulan penularan gambar sampah sarap berkenaan di media sosial, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming meluahkan rasa kesalnya terhadap tindakan tidak bertanggungjawab berkenaan.
Beliau turut mengeluarkan kenyataan memberi peringatan terakhir sebelum pelaksanaan khidmat masyarakat bagi kesalahan membuang sampah di tempat awam berkuat kuasa 1 Januari ini.
Tegasnya, pegawai penguat kuasa sudah diarahkan untuk melaksanakan undang-undang baharu itu bertujuan memperkukuh kebersihan awam serta tanggungjawab sivik.
Ujarnya, tindakan itu sebagai sebahagian penguatkuasaan lebih tegas terhadap tabiat membuang sampah di tempat awam.-MalaysiaGazette
















