Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin

 

KUALA LUMPUR – UMNO Kedah menegaskan perjuangan menuntut keadilan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan terhenti di sebalik keputusan mahkamah yang tidak memihak kepada bekas Perdana Menteri berkenaan.

Ketua Penerangannya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin  yakin dan percaya segala ruang serta saluran perundangan yang masih tersedia dalam kes itu akan terus dimanfaatkan secara tertib dan berlandaskan prinsip kedaulatan undang-undang.

Malah, menurutnya, bekas Presiden UMNO berkenaan juga tidak keseorangan dalam mendepani ujian tersebut.

“Walaupun terdapat segelintir pihak yang memilih untuk meraikan keputusan ini, UMNO Kedah ingin menegaskan bahawa rakyat marhaen termasuk nelayan, pekebun getah dan pesawah padi tetap menyanjungi jasa serta sumbangan besar beliau, khususnya kepada golongan luar bandar dan negeri-negeri seperti Kedah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sehubungan itu, menurutnya, UMNO Kedah menyeru seluruh ahli dan penyokong UMNO agar terus bertenang, bersatu dan memperbanyakkan doa, serta kekal mendokong usaha dan harapan Najib dalam mencari keadilan yang sebenar.

Tambahnya, UMNO Kedah juga yakin Presiden parti serta pucuk pimpinan tertinggi UMNO tidak sama sekali mengambil mudah perkara itu, apatah lagi meletakkan agenda keadilan untuk Najib sebagai perkara sampingan.

“Usaha akan terus digerakkan secara berhemah, konsisten dan bertanggungjawab demi kepentingan parti serta negara.

“Semoga Allah SWT memberikan petunjuk, keadilan dan kekuatan kepada semua pihak, serta memelihara keharmonian dan kestabilan negara,” katanya.

Kelmarin, Najib dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda lebih RM11 bilion atas kesemua 25 pertuduhan membabitkan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Terdahulu, Najib juga gagal dalam permohonan semakan titah adendum bagi tahanan rumah bersabit kesalahan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd., sekali gus kekal menjalani hukuman di Penjara Kajang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast