Foto FB Ustazah Asma' Harun.

KUALA LUMPUR – Leher dan tengkuk adalah aurat wanita yang wajib ditutup di hadapan lelaki ajnabi berdasarkan ijmak para ulama dan ia tidak termasuk dalam bahagian wajah yang dikecualikan.

Pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun berkata, wanita Muslimah wajib memastikan tudung menutup dengan sempurna sehingga tidak kelihatan leher, tengkuk dan anak telinga kerana bahagian-bahagian tersebut termasuk dalam aurat yang tidak dibenarkan untuk didedahkan.

“Pemakaian tudung yang dililit atau diketatkan di leher sehingga menzahirkan bentuk ia tidak menepati tuntutan menutup aurat menurut syariat kerana menutup aurat bukan sekadar menutup warna kulit tetapi juga menghilangkan bentuk anggota aurat.

“Menampakkan bentuk leher atau telinga melalui tudung yang nipis atau ketat adalah tidak dibenarkan dan tidak mencapai tahap kesempurnaan menutup aurat.

“Namun, jika bentuk itu terlihat secara tidak sengaja walaupun sudah diusahakan memakai tudung yang tebal, ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan,” tulisnya di Facebook miliknya di sini hari ini.

Pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun. Foto WAN NABIL NASIR, 18 MAC 2024.

Asma’ menambah, telinga dan anak telinga termasuk dalam aurat wanita dan perhiasan padanya seperti subang tidak boleh dizahirkan kepada lelaki ajnabi sebagaimana larangan menampakkan perhiasan dalam Surah an-Nur ayat 31.

“Dagu termasuk dalam kawasan wajah menurut mazhab Syafi‘i, namun terdapat khilaf ulama tentang bahagian bawah dagu. Oleh itu, mengambil langkah berhati-hati dengan menutupnya lebih utama agar bahagian leher tidak terbuka ketika bergerak. Wallahu a‘lam,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast