PENGERANG – Seorang pemandu e-hailing didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan iaitu memandu secara berbahaya dan mengakibatkan tiga kematian dan memiliki rokok seluup pada Oktober lalu.
Tertuduh, Loo Chun Hai, 32, yang datang berkerusi roda mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin dan minta dibicarakan.
Berdasarkan tiga kertas pertuduhan terbabit, dia yang tidak bekerja memandu pikap Toyota Fortuner secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Muhammad Hafizhan Hanafi Norhaizal, 21; Fazrizal Izuan Zuhaimi, 20; Muhammad Abdul Khalid Ab Rashid, 19.
Bagi perbuatan yang didakwa dilakukan di Kilometer (KM) 56 Lebuhraya E22 Senai-Desaru (SDE22), Kota Tinggi, pukul 11.45 pagi, 11 Oktober lalu itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM50,000, bagi setiap pertuduhan jika sabit kesalahan.
Lelaki itu turut mengaku tidak bersalah menyedari dalam milikannya barang larangan iaitu 24 karton rokok pelbagai jenis atau 4,800 batang rokok yang ditaksirkan bernilai RM3,894.
Barangan itu berduti semasa pengimportannya di bawah Peraturan 10 Peraturan-peraturan Kastam (Kaedah Penilaian 1999).
Bagi perbuatan yang dilakukan di tempat, waktu dan hari yang sama, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 135(1)(i)(aa) akta sama yang membawa hukuman sehingg 20 kali ganda amaun duti kastam atau RM500,000 mana yang lebih tinggi atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Inspektor Nor Ayu Hidayah Mohd Safri mencadangkan jumlah jaminan RM25,000 bagi semua pertuduhan, namun dibantah peguam K Sarawanan yang mewakili tertuduh.
Sarawanan berkata, anak guamnya kini tidak mampu bekerja akibat kecederaan yang dialami susulan kemalangan yang berlaku.
“Tertuduh mempunyai tanggungan ibu berusia 60 tahun serta abang dan kakaknya. Dia masih menjalankan rawatan susulan bagi kecederaannya itu dan akan menjalani pembedahan di kakinya.
“Hanya ibunya yang kini bekerja di kedai gunting rambut dengan gaji RM2,000 sebulan dan hadir bagi menjadi penjamin,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan jumlah ikat jamin keseluruhan sebanyak RM15,000 dan menetapkan 6 Februari depan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen.
Pada 11 Oktober lalu, media melaporkan tiga individu terkorban dalam kemalangan tiga kenderaan yang mana dua daripada kenderaan itu terbakar di KM56, SDE22, Kota Tinggi.
Dalam kemalangan itu, sebuah Toyota Fortuner yang terbakar didapati membawa rokok seludup yang mana pemandunya cedera parah.
Pemandu dan dua penumpang Volkswagen Golf pula maut dengan dua daripadanya meninggal dunia di tempat kejadian dan seorang lagi meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.
Pada masa sama, pemandu Honda CRV yang turut terbabit dalam kemalangan itu dilaporkan tidak cedera.- MalaysiaGazette
















