Mahkamah Pengerang.

PENGERANG – Seorang suri rumah didenda RM35,000 di Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku salah mencuri wang simpanan RM130,000 milik ibu kandungnya hingga mengakibatkan warga emas tersebut tidak dapat menunaikan haji.

Majistret Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Norhasikin Abu Bakar, 31, mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mahkamah memerintahkan penjara dua tahun sekiranya suri rumah berkenaan gagal membayar denda tersebut.

Berdasarkan kertas pertuduhan, wanita tersebut didakwa mencuri wang sebanyak RM100,000 menggunakan aplikasi THiJARI milik ibunya yang berusia 67 tahun dengan niat mencuri wang itu bagi tujuan peribadi di Felda Gugusan Adela di sini, pukul 10 pagi pada 21 Ogos lalu.

Pertuduhan kedua pula, wanita itu didakwa mencuri wang sebanyak RM30,000 menggunakan kad ATM Bank Islam juga milik ibunya dengan niat yang sama di Bank Islam cawangan Bandar Penawar di sini, pada waktu dan hari yang sama.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sebelum hukuman dijatuhkan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman yang ringan kerana tidak mempunyai pendapatan manakala suaminya yang bekerja juga tidak mempunyai pendapatan tetap.

Pegawai Pendakwa, Inspektor Nor Ayu Hidayah Mohd Safri bagaimanapun memohon hukuman setimpal memandangkan kerugian RM130,000 itu dialami oleh ibu kandung tertuduh sendiri yang mana wang berkenaan belum diperoleh semula warga emas berkenaan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM20,000 bagi pertuduhan pertama dan RM15,000 bagi pertuduhan kedua.

Menurut fakta kes, pengadu iaitu ibu tertuduh mendapati anaknya telah menggunakan aplikasi THiJARI miliknya tanpa kebenaran dan pengetahuannya dengan memindahkan wang dari akaun Tabung Haji sehingga berjumlah RM100,000 bagi tujuan peribadi.

Pada hari yang sama, pengadu mendapati tertuduh menggunakan kad ATM Bank Islam miliknya tanpa kebenaran dan tanpa pengetahuan pengadu untuk melakukan tiga kali transaksi pengeluaran wang sehingga berjumlah RM30,000 bagi tujuan peribadi tertuduh.

Polis yang kemudian menerima laporan dibuat pengadu telah membuat tangkapan ke atas tertuduh di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, pukul 4.30 petang, pada 26 Oktober lalu.

Difahamkan, hasil siasatan berdasarkan penyata kewangan Bank Islam dan Tabung Haji mendapati bahawa tertuduh telah mengaku mengambil wang milik pengadu itu bagi tujuan kegunaan peribadi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast