Gambar hiasan

Oleh: Dr. Ridzwan Ahmad

PERBAHASAN mengenai keutamaan berpegang kepada hadis atau fiqh mazhab bukan isu baharu dalam sejarah pemikiran Islam. Namun dalam konteks kontemporari—khususnya dengan kemunculan media sosial, platform digital dan budaya slogan keagamaan—isu ini kembali diperdebatkan secara simplistik, kadang-kadang bersifat emosional sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat awam.

Ungkapan seperti “kita ikut hadis, bukan mazhab”, “Imam al-Syafi‘i menyuruh ikut hadis sahih, bukan mazhab”, atau “ikut mazhab akal terpenjara, ikut hadis sahih hukum terpelihara” sering dikemukakan sebagai lambang kesucian manhaj dan pembebasan daripada taqlid. Bagaimanapun, persoalan yang lebih mendasar perlu diketengahkan: adakah slogan-slogan ini benar-benar mencerminkan metodologi keilmuan Islam yang sahih, atau sekadar retorik popular yang mengabaikan disiplin ilmiah yang diwarisi daripada para ulama silam?

Seruan berpegang kepada hadis: Analisis metodologi
Golongan yang mempertikaikan amalan berasaskan mazhab lazimnya berhujah bahawa Nabi SAW tidak pernah mewajibkan umat Islam berpegang kepada mana-mana mazhab fiqh. Mereka mengaitkan keterikatan kepada mazhab dengan fanatisme, kejumudan pemikiran dan taqlid buta yang ditegah oleh generasi salaf. Dari sudut lafaz, hujah ini kelihatan benar. Namun dari sudut metodologi, ia menimbulkan kekeliruan yang serius kerana ia mengabaikan realiti bahawa tidak semua orang memiliki kelayakan untuk mentafsir hadis hukum secara langsung.

Hadis-hadis hukum tidak bersifat mutlak dari segi pengaplikasian. Setiap hadis memerlukan penelitian sanad, matan, sebab turunnya atau sebab kewujudannya (asbāb al-wurūd), pemahaman nasakh dan mansukh, serta penguasaan kaedah istinbat melalui Usul Fiqh dan pertimbangan Maqasid Syariah. Tanpa kerangka ini, literalitas hadis berisiko menyesatkan kerana hadis yang tidak difahami secara metodologinya boleh membawa hukum yang bertentangan dengan prinsip syariah atau konsistensi kaedah fiqh.

Sejarah menunjukkan perpecahan sering berlaku bukan kerana keterikatan kepada mazhab tetapi kerana individu merasakan diri mereka mampu mentafsir hadis secara bebas. Fenomena ini melahirkan kelompok yang mendakwa memperjuangkan sunnah, namun akhirnya tetap berpegang kepada pandangan imam tertentu sambil menolak pandangan ulama lain. Dengan kata lain, mazhab ditolak pada nama, tetapi diamalkan secara tidak langsung. Hal ini menimbulkan paradoks metodologi: apakah maksud sebenar slogan “tinggalkan mazhab, ikut sunnah” jika praktiknya tetap terikat kepada mazhab tertentu?

Hadis sebagai bahan asas, bukan produk siap
Hadis Nabi SAW adalah wahyu yang suci dan sumber utama syariat Islam. Namun hadis bukan hukum yang siap diaplikasikan. Ia merupakan bahan mentah yang memerlukan proses analisis sebelum dapat diamalkan secara selamat. Kegagalan memahami hadis sebagai “bahan mentah” mendorong sebahagian pihak mengajak orang awam meninggalkan mazhab, kononnya bersandarkan ungkapan Imam al-Syafi‘i: “Apabila hadis itu sahih, maka ia adalah mazhabku”.

Para ulama menjelaskan ungkapan ini ditujukan kepada mujtahid yang memiliki kelayakan metodologi, bukan individu yang hanya membaca hadis atau menguasai ilmu periwayatan semata-mata. Untuk beramal dengan ungkapan Imam al-Syafi’I ini, Imam al-Nawawi menegaskan seseorang itu mesti menguasai keseluruhan karya Imam al-Syafi‘i dan metodologi para pendokong mazhabnya. Ia adalah syarat yang amat sukar dicapai.

Dalam hal ini al-‘Izz ibn ‘Abd al-Salam menegaskan: “Sedikit sekali orang yang hanya menyibukkan diri dengan hadis melainkan dia akan tersesat dari jalan fiqh, kerana dia mengambil zahir setiap hadis semata-mata dan tidak mengetahui kaedah-kaedah usul yang menjadi asas pembinaan hukum-hakam”.

Dalam tradisi keilmuan Islam, hadis berfungsi sebagai sumber dalil manakala fiqh merupakan hasil ijtihad melalui proses istinbat yang sistematik. Proses ini menuntut penguasaan kaedah seperti umum dan khusus, mutlak dan muqayyad, nasakh dan mansukh, tarjih antara dalil serta pertimbangan maqasid dan maslahah. Tanpa kerangka ini, hadis boleh menyesatkan sebagaimana peringatan Sufyan ibn ‘Uyainah: “Hadis boleh menyesatkan kecuali bagi para fuqaha’”.

Tidak beramal dengan hadis bukan menolak sunnah
Apabila sesuatu mazhab kelihatan tidak beramal dengan hadis tertentu, ia bukan bermakna menolak sunnah. Ia merupakan hasil daripada proses ilmiah yang merangkumi:
i-Penilaian sanad,
ii-Penilaian amalan Sahabat,
iii-Perbandingan dalil lain, dan
iv-Penerapan kaedah tarjih antara dalil bertentangan.

Sebagai contoh, hadis “Tidak sah nikah melainkan dengan wali” menunjukkan perbezaan pendekatan antara mazhab: Mazhab Syafi‘i, Maliki dan Hanbali meletakkan wali sebagai rukun dan syarat sah akad. Mankala Mazhab Hanafi menganggap akad sah bagi wanita baligh dan berakal tanpa wali, berdasarkan qiyas dan riwayat sahabat, menjadikan hadis itu afdhal, bukan syarat mutlak.

Begitu juga hadis tentang basuhan tujuh kali jika anjing menjilat bejana iaitu “Apabila anjing menjilat di dalam bekas salah seorang daripada kamu, maka hendaklah dia membasuhnya sebanyak tujuh kali, salah satu daripadanya dengan tanah”. Mazhab Syafi‘i dan Hanbali mengamalkannya secara literal, manakala Hanafi menggabungkan prinsip ta‘abbudi dengan pengamatan amalan Abu Hurairah RA, menetapkan tiga kali basuhan sebagai sudah mencukupi. Perbezaan ini jelas menunjukkan bahawa khilaf ulama berpunca daripada metodologi, bukan penolakan hadis semata-mata.

Orang awam tidak dibenarkan beramal dengan hadis hukum secara bebas tanpa bimbingan ulama. Begitu juga, pemilihan mazhab secara sesuka hati melalui talfiq liar boleh menimbulkan kekeliruan. Berpegang kepada mazhab bukan menutup pintu sunnah, malah memastikan pengamalan sunnah berlangsung secara aman, teratur, dan bersatu. Mazhab diperlukan bukan sahaja oleh orang awam, malah oleh ahli hadis yang tidak menguasai Usul Fiqh.

Tanpa disiplin ini, ahli hadis hanyalah penyampai riwayat, bukan mujtahid yang mampu menyelesaikan persoalan umat. Dalam konteks Malaysia, pemilihan mazhab Syafi‘i sebagai mazhab rasmi adalah berasaskan kesinambungan sejarah, kesepaduan masyarakat dan kekuatan metodologi yang mengintegrasikan hadis dan fiqh secara seimbang. Wa Allah a‘lam.

Penulis dari Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast