Hadzrat menunjukkan sebahagian barangan dirampas selepas polis menahan seorang lelaki disyaki terlibat dalam beberapa kes pecah rumah di Johor, selepas sidang akhbar di IPD Pontian, hari ini

PONTIAN – Polis menahan seorang pemandu lori ais yang terlibat dengan 16 kes pecah masuk pejabat dan satu kes pecah rumah di enam daerah sepanjang tahun ini.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Hadzrat Hussin berkata, suspek yang berusia 42 tahun ditahan menerusi satu operasi di Skudai, di sini Sabtu lalu.

“Sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian menahannya di Kilang Ais Atlas, Taman Universiti, Skudai, pukul 8.30 pagi.

“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan kes harta benda,” katanya dalam sidang akhabr di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian di sini hari ini.

Beliau berkata, susulan tangkapan tersebut, polis menjalankan penggeledahan di sebuah premis di Bandar Undang-Undang, Skudai dan merampas pelbagai barangan yang dipercayai berkaitan kegiatan jenayah berkenaan.

Antara barangan katanya, sebuah motosikal Yamaha Y15 warna hijau, sebuah peti besi, dua unit kamera litar tertutup (CCTV), enam plastik kecil berisi barang kemas dengan anggaran nilai RM17,000, sebuah tablet Lenovo serta beberapa telefon bimbit termasuk Oppo, iPhone 13 dan Samsung Galaxy.

“Turut dirampas ialah lampu suluh, beg pinggang, enam keping resit pajak gadai, sarung tangan serta beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk memecah masuk premis termasuk pemotong besi, pemutar skru, playar dan alat pemotong dawai,” ujarnya.

Menurut Hadzrat, hasil siasatan mendapati suspek mengaku terlibat dalam 16 kes pecah masuk pejabat dan satu kes pecah rumah di Pontian, Batu Pahat, Kluang, Kulai, Johor Bahru Utara dan Iskandar Puteri.

Beliau memberitahu, anggaran keseluruhan kerugian daripada kes-kes tersebut adalah sekitar RM24,000.

Katanya, suspek direman selama enam hari bermula 28 Disember 2025 hingga 2 Januari 2026 di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana kesalahan pecah rumah dengan niat mencuri yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda.

Tambahnya, jika sabit kesalahan mencuri, hukuman penjara boleh dilanjutkan sehingga 14 tahun termasuk hukuman lebih berat bagi kesalahan berulang.

Hadrazt berkata, suspek dipercayai bertindak secara bersendirian dan aktif melakukan jenayah sepanjang tahun ini dengan motif berpunca daripada masalah kewangan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada orang awam atas kerjasama dan maklumat yang disalurkan serta menegaskan polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan jenayah, khususnya di daerah ini.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast