KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden menyifatkan tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) sebagai berjiwa besar dan sangat dihormati.
Sambil berterima kasih kepada Muhyiddin atas keputusan itu, katanya, segala jasa dan khidmat bakti Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu selama memimpin PN dan Malaysia sebelum ini tetap akan dikenang dan diingati.
Antaranya, dalam menyelamatkan negara daripada wabak Covid-19 dan memulihkannya semula sehingga rakyat dapat kembali hidup seperti sedia kala hari ini.
“Itu jasa yang amat besar kepada kita semua. Sejarah itu tidak boleh diubah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Afnan Hamimi berkata, segala pandangan yang pernah diungkapkan beliau sebelum ini, sedikitpun tidak mengurangkan rasa hormat dan sanjungnya kepada Muhyiddin.
Lebih-lebih lagi, tambahnya, Muhyiddin yang lebih dikenali sebagai `Abah’, merupakan orang yang lebih berusia dan berpengalaman berbanding beliau.
“Saya memohon maaf andai ada kata-kata yang menyebabkan Tan Sri (Muhyiddin) rasa tidak senang atau tersinggung.
“Tiada langsung isu peribadi, melainkan hanya menyuarakan ketegasan untuk kebaikan kita bersama di dalam sebuah kapal,” katanya.
Tambah beliau, meskipun kepimpinan atau nakhoda berganti, namun `kapal’ PN mesti terus belayar menempuh ombak dan badai, hingga sampai ke destinasi.
“Mewakili seluruh jentera Pemuda PN dan Pemuda Pas, kami ucapkan terima kasih Tan Sri (Muhyiddin).
“Jasamu kami kenang sampai akhir hayat,” katanya. – MalaysiaGazette
















