ADUN Kota Siputeh merangkap Ketua Bahagian BERSATU Jerlun, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir pada Program SKOP MG di pejabat Malaysia Gazette Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 30 OKTOBER 2025

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin melakukan pengorbanan besar kali kedua apabila sanggup  melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) ketika berada di puncak kuasa demi meredakan kerancuan politik semasa.

Ketua Bahagian Bersatu Jerlun Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, tindakan Muhyiddin itu secara tidak langsung menafikan segala tohmahan jahat kononnya pemimpin veteran itu kemaruk kuasa atau hanya mementingkan kepentingan peribadi.

“Barangkali tindakan ini menjadi saksi, suatu hal yang ‘terbaik’ dilakukan apatah dalam kerancuan semasa.

“Dua kali Tan Sri (Muhyiddin) telah mengorbankan diri ketika di pundak kuasa saat yang lain menjadi punca.

“Segala tohmah yang menghambur jiwa kononnya semata-mata kepentingan peribadi kini dinafikan bagi mereka yang mahu berfikir,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Mohd Ashraf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Siputeh turut memberi bayangan wujudnya unsur ‘penganiayaan’ dan ‘kejahatan’ yang berlaku di sebalik tabir jajaran politik gabungan itu sehingga memaksa Muhyiddin mengambil tindakan drastik .

“Yakinlah Tan Sri dan semua kita bahawa segala kebaikan dan kejahatan akan dihitung dan segala kebaikan malah keburukan apatah penganiayaan pasti akan berbalas.

“Tidak terlepas seseorang itu di dunia apatah lagi di akhirat sana dan sedarlah kita sebagai peringatan bahawa dunia ini sementara dan wahana pintu derita. Dunia ini sementara dan wahana pintu derita,” ujarnya.

Mohd Ashraf juga percaya sejarah akan memberikan keadilan kepada bekas perdana menteri kelapan itu suatu hari nanti apabila kebenaran mula tersingkap.

“Putaran sejarah sering kali memihak kepada mereka yang telah pergi atau ketika kebenaran yang pudar kembali menjadi hakiki.

“Begitulah rona kehidupan, kelebihan akan dicemburui, kekurangan pasti dihina, kebaikan boleh disalah erti dan kebenaran dinafi,” katanya lagi.

Muhyiddin bakal melepaskan jawatan sebagai Pengerusi PN pada 1 Januari depan.

Tindakan Muhyiddin itu turut mendorong beberapa pemimpin Bersatu negeri turut melepaskan jawatan dalam Perikatan Nasional antaranya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang melepaskan jawatan sebagai Setiausaha PN dan juga Pengerusi PN Selangor serta Datuk Dr Sahruddin Jamal juga meletak jawatan Pengerusi PN Johor. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast