KOTA TINGGI – Hasrat seorang pemuda memulakan perniagaan secara dalam talian selepas mengumpul wang simpanan bekerja di Singapura tidak kesampaian apabila diperdaya dan menjadi mangsa sindiket penipuan kerja di Myawaddy, Myanmar selama setahun .
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Chew, 26, dari bandar ini berkata, semuanya bermula apabila dia tertarik dengan sebuah iklan dalam satu Facebook pada 1 Oktober tahun lalu.
Jelasnya yang masih bujang, iklan tersebut menawarkan barang-barang menerusi sebuah gudang di negara tersebut yang menawarkan pelbagai barang makanan antaranya makanan dan minyak wangi.
“Saya berlepas ke Myanmar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura pada 3 Oktober 2024 tetapi perlu transit di Bangkok terlebih dahulu. Saya pergi seorang diri ke sana dengan perbelanjaan ditanggung sendiri dengan kos RM2,000.
“Kemudian sorang lelaki Thailand yang dipercayai merupakan pekerja sindiket tersebut datang menjemput saya di lapangan terbang di Bangkok.
“Semasa mahu ke Myanmar pada hari yang sama menerusi perjalanan darat, saya diculik semasa berada di Tak iaitu antara kawasan Bangkok dan Chiang Mai,” katanya dalam sidang akhbar bersama-sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chen Kah Eng di Kota Hawker di sini hari ini.
Menurut Chew, dia dilarikan dan dibawa terus ke sebuah sebuah rumah dua tingkat dalam kawasan kampung di Myawaddy dalam keadaan dikawal ketat dalam keadaan hanya memakai pelitup muka.
Dakwanya, dia bersama-sama kira-kira 60 rakyat Malaysia yang lain termasuk wanita dipaksa melakukan kerja-kerja menipu secara dalam talian dengan menyasarkan orang-orang Hong Kong sebagai mangsa dan semua data mangsa diberikan sindiket.
“Tugas saya adalah orang pertama yang menghubungi mangsa dan berkomunikasi menggunakan bahasa Kantonis. Apabila mangsa percaya dan terjerat saya memindahkan panggilan kepada pihak kedua yang akan melakukan urusan seterusnya.
“Sindiket ini membuat satu aplikasi khas untuk penipuan dalam memperdaya mangsa. Pada permukaan untuk tempoh 30 hari pertama saya dipaksa untuk mencari 30 mangsa sehari dengan membuat penipuan jualan barangan dan love scam,” katanya.
Chew berkata, dia akan diseksa sekiranya tidak mencapai sasaran tersebut termasuk selepas diketahui cuba berhubung dengan rakyat Malaysia untuk melarikan diri semasa sedang bekerja.
Dia mendakwa didera dengan renjatan elektrik, dipukul ahli sindiket termasuk dibelasah dengan kayu serta mengharungi pelbagai penyeksaan selain dikurung dan tidak diberi makanan sehingga lapan hari dengan hanya minum air paip di tandas.
Kata Chew lagi, disebabkan gagal menjerat mangsa seperti yang disasarkan, sindiket tersebut menjualnya kepada satu sindiket penipuan lain tetapi ketika dalam perjalanan ke tempat sindiket lain kenderaan membawa mereka diserbu.

“Pihak berkuasa melakukan serbuan dan menyelamatkan kami sebelum dibawa ke Thailand. Kami kemudian dilepaskan pihak berkuasa Thailand pada 19 Disember 2025 sebelum tiba di Bukit Kayu Hitam, Kedah pukul 6.50 petang, pada 20 Disember 2025.
“Saya pergi ke Myawaddy untuk memulakan perniagaan secara dalam talian dan hanya merancang beberapa hari sahaja ke gudang berkenaan sebelum pulang semula ke Malaysia,” katanya.
Namun dia tidak menyangka akan ditipu dan selepas beberapa hari ke Myawaddy terputus hubungan dengan keluarga kerana passport dan telefon bimbitnya dirampas anggota sindiket sejurus diculik.
Bapanya ujar Chew, membuat laporan polis beberapa hari kemudian sebelum Kah Eng juga berhubung dengan kedutaan Malaysia di Myanmar untuk mendapat bantuan.
Sementara itu, Kah Eng berkata, kes pemuda tersebut dimaklumkan kepada beliau oleh pihak keluarga yang menyedari anaknya tidak pulang ke rumah.
Beliau dalam masa sama beliau meminta orang ramai agar memaklumkan kepada pihak berkuasa jika mendapati perkara mencurigakan agar tidak terjebak dengan sebarang sindiket jenayah.
“Ambil iktibar dari mangsa ini. Pergi luar negara bercuti atau cari peluang perniagaan atau pelaburan mesti bincang dengan keluarga. Pergi luar negara kali pertama mesti ada kawan, kalau seorang ada risiko ditangkap diculik.
“Perlu hati-hati dunia siber ini kerana penuh dengan penipuan. Bagi mereka yang terjebak sindiket cuba hubungi pihak kedutaan supaya boleh ambil tindakan susulan,” katanya.- MalaysiaGazette
















