KUALA LUMPUR – UM-Damansara United secara rasmi mengesahkan bahawa persetujuan telah dicapai dengan Negeri Sembilan FC untuk perpindahan Anuar Ceesay menerusi perjanjian itu selesai dengan bayaran tidak didedahkan.
“Kami tahu Anuar akan menjadi bintang dalam kancah bola sepak Malaysia dan kami gembira perpindahan dia ke Negeri Sembilan akan menjadi sebahagian daripada langkah positif dalam perjalanan profesionalnya,” kata UM-Damansara dalam satu kenyataan di laman media sosial di sini.
Sesi perpindahan kedua pemain Liga Malaysia (Liga-M) pada musim ini akan bermula 5 Januari depan.
Anuar yang merupakan pemain kacukan Malaysia-England-Gambia itu dikatakan direkrut pasukan bimbingan Nidzam Jamil sejak beberapa hari lalu dalam persiapan menjelang aksi pertama pusingan kedua Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, pada 9 Januari ini.
Kehadiran Anuar dibuat susulan kehilangan khidmat Alex Agyarkwa yang dipanggil semula oleh Selangor FC (SFC).
Kemasukan pemain kacukan itu dijangka mampu menambah ketajaman dan variasi di bahagian serangan skuad Hobin Jang Hobin ketika misi ditetapkan untuk melonjakkan lagi kedudukan pasukan itu dalam carta liga. – MalaysiaGazette















