Anggota bomba melakukan kerja-kerja menyelamatkan seorang pekerja yang tertimbus dalam tanah runtuh di hadapan sebuah kilang dalam pembinaan, di Bandar Penawar Kota Tinggi, semalam

KOTA TINGGI – Seorang pekerja asing maut manakala seorang pekerja tempatan terselamat dalam kejadian tanah runtuh semasa melakukan kerja-kerja perpaipan di hadapan sebuah kilang dalam pembinaan di Bandar Penawar di sini, semalam.

Kejadian kira-kira pukul 1 petang itu menyebabkan mangsa yang merupakan warganegara Indonesia, Rifai Ahmad, 52 terkorban di lokasi kejadian.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Penawar, Pegawai Bomba Tinggi II Izwani Abdul Hamid berkata, semasa kejadian mangsa bersama-sama seorang lagi pekerja pempaipan sedang menjalankan kerja di kawasan tersebut sebelum tiba-tiba berlaku runtuhan tanah.

Terdahulu katanya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 1 petang sebelum tiba di lokasi lima minit kemudian yang jaraknya 3 kilometer.

“Kejadian tanah runtuh itu melibatkan dua mangsa lelaki dewasa. Seorang mangsa berusia 32 tahun berjaya menyelamatkan diri, manakala pekerja warga asing tersebut tertimbus dianggarkan sedalam tiga meter.

“Pasukan bomba segera menjalankan operasi menyelamat dengan menggali tanah menggunakan peralatan khas serta dibantu sebuah jentera pengorek excavator,” katanya dalam kenyataan.

Mangsa katanya, berjaya dikeluarkan pukul 4 petang namun disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM)

Ujarnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Tambahnya operasi yang melibatkan seramai sembilan anggota Balai Bomba Penyelamat (BBP) Penawar dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) itu ditamatkan sepenuhnya pada pukul 4.25 petang.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast