KOTA TINGGI – Aduan rasuah dan penyalahgunaan kuasa terhadap pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tanpa disertakan bukti kukuh berpotensi menjejaskan kredibiliti serta nama baik ATM jika dibiar berlarutan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya sentiasa memandang serius setiap aduan dan laporan yang diterima khususnya membabitkan salah laku integriti dalam organisasi pertahanan negara itu.
Namun katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi, terdapat juga aduan bersifat tuduhan tanpa disertakan bukti kukuh.
“Kementerian dan saya sendiri memang beri penekanan kepada soal supaya setiap pemegang jawatan memiliki nilai-nilai amanah, berintegriti dan sebagainya.
“Kita tidak memaafkan apa-apa unsur rasuah penyalahgunaan kuasa yang berlaku terutamanya dalam Kementerian Pertahanan. Itu kita punya pendirian,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Komuniti Kampung Malam di Dewan Terbuka Pangkalan Kota di sini hari ini.

Pada Isnin lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggeledah pejabat Tentera Darat di Kementerian Pertahanan (MINDEF) serta di kediaman rasmi milik seorang pegawai kanan Tentera Darat.
Menurut sumber, penggeledahan bermula sekitar pukul 5 petang hingga 12 tengah malam tidak menghasilkan sebarang sitaan wang tunai.
Namun SPRM telah menyita beberapa barangan mewah bernilai tinggi termasuk jam tangan dan beg tangan mewah yang dipercayai berkait dengan siasatan.
Menurut sumber sama, suspek sepatutnya hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM namun beliau telah dikejarkan ke hospital dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada tarikh berkenaan.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, dari semasa ke semasa pihaknya memang terima aduan tetapi dan akhir-akhir ini aduan tersebut berserta dengan pelbagai bukti yang mungkin tidak dapat hendak dinafi ataupun disangkal.
“Tetapi ada juga aduan-aduan yang bersifat sebagai satu tuduhan yang tidak ada bukti. Yang baru-baru ini pun, saya lihat yang dikeluarkan itu sesuatu tuduhan yang sebenarnya tidak disertakan dengan bukti, kalau ini berlarutan memang akan menjejaskan kredibiliti dan nama baik ATM,” katanya.
Mohamed Khaled berkata, pihak yang terjejas dengan tuduhan tanpa bukti terbabit akan mengambil tindakan perundangan yang sesuai untuk menunjukkan bahawa tuduhan-tuduhan itu adalah tidak betul.
Katanya, tindakan itu wajar dan perlu dilakukan untuk membersihkan nama baik ATM.
“Jika tidak perkara-perkara ini (tuduhan tanpa bukti) dijadikan sebagai asas untuk mendapat populariti tetapi tidak ada bukti yang betul.
“Adalah wajar untuk mana-mana pihak supaya berhati-hati dalam perkara ini. Kalau tidak ada bukti dikemukakan itu hanya, pada akhirnya akan menjejaskan ATM.
“Tentunya saya sebagai menteri yang bertanggungjawab akan pastikan tindakan-tindakan yang sesuai yang perlu dilakukan supaya fitnah ataupun persepsi, kerja-kerja bangunkan persepsi yang negatif ini dapat dihalang supaya tidak menjejaskan nama baik ATM,” katanya.
Mengenai perkembangan kesihatan terbaharu mengenai pegawai kanan tersebut, beliau memberitahu, pihaknya masih tidak dimaklumkan keadaan terkini.
Setakat ini, pihaknya belum mendapat apa-apa maklumat daripada SPRM berhubung siasatan terbabit.
“Dia (pegawai kanan) sekarang ini sudah diminta untuk bercuti. Jadi dia tidak ada apa-apa peranan dan kuasa. Dia dalam keadaan bercuti kerana cuti itu diarahkan kerana ada siasatan terhadapnya.
“Siasatan itu urusan SPRM. Kementerian belum lagi mendapat apa-apa maklumat daripada siasatan itu. Jadi selagi tidak ada apa-apa perkembangan maka selagi itulah dia dalam keadaan bercuti,” katanya.
Pada 25 Disember lalu, pegawai SPRM hadir ke Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan tumpuan terarah kepada projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat.
Pada 24 Disember lalu, SPRM mengambil aduan dan merakam keterangan Ketua Bersatu Bahagian Port Dickson, Chegubard atau nama sebenar Badrul Hisham Shahari di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, pukul 12 tengah hari mengenai perincian maklumat yang beliau peroleh.
Chegubard sebelum ini mendakwa terdapat ‘aliran tunai besar’ dikesan dalam akaun bank seorang pegawai dan ahli keluarganya, yang disyaki berpunca daripada syarikat-syarikat yang memperoleh projek ketenteraan.
Beliau merujuk kepada audit forensik dokumen yang diterimanya tanpa nama, mendakwa pegawai berkenaan menerima wang antara RM50,000 hingga RM60,000 setiap bulan ke dalam akaun bank.
Dokumen berkenaan, dakwanya, turut menunjukkan pemindahan wang dalam jumlah lebih besar, mencecah ratusan ribu ringgit ke dalam akaun yang dikaitkan dengan pegawai terbabit.
Beliau juga mendakwa dana itu dipindahkan daripada akaun syarikat-syarikat yang telah memperoleh projek ketenteraan.- MalaysiaGazette
















