Mohd Sohaimi Ishak

JOHOR BAHRU – Seorang wanita dan teman lelakinya sanggup bersekongkol cuba membunuh suaminya hanya kerana wang tuntutan insuran.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, bagaimanapun tindakan itu memakan diri apabila akhirnya ditahan polis sehari selepas kejadian pada 22 Disember tahun lalu.

Menurut beliau, perancangan tersebut terbongkar selepas satu kejadian berlaku di Taman Ehsan Jaya di sini dipercayai ada kaitan dengan wang tuntutan insuran.

“Dalam kejadian itu, mangsa seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun cuba dibunuh oleh seorang lelaki dipercayai teman lelaki isterinya dengan cara menekup muka mangsa menggunakan bantal sehingga mangsa mengalami kesukaran bernafas semasa sedang tidur.

“Siasatan lanjut mendapati isteri mangsa telah membenarkan teman lelakinya masuk ke dalam rumah semasa mangsa sedang tidur dan memegang kaki mangsa supaya teman lelakinya dapat menekup muka mangsa sehingga menyebabkan sesak nafas.

“Mangsa telah bergelut dan berjaya melepaskan diri manakala suspek iaitu teman lelaki isterinya melarikan diri pada hari kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan juga mendapati dalam tempoh kira-kira seminggu sebelum kejadian, isteri mangsa kerap bertanyakan mengenai jumlah wang dan syarikat insuran yang dicarumkan oleh mangsa.

Mohd Sohaimi berkata, siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan untuk membunuh orang dan kertas siasatan telah dilengkapkan dan dirujuk ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor.

“Arahan untuk menuduh isteri mangsa dan teman lelakinya telah diperoleh dan mereka akan dituduh di Mahkamah Sesyen di sini pagi esok,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast