JOHOR BAHRU – Seorang suri rumah dan teman lelakinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuba bunuh suaminya pada 22 Disember lalu.
Wanita berkenaan, N. Egavalli, 46, dan rakan lelakinya, R. Kamala Sarna, 38, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zamir Suhaimee.
Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama di 27, Jalan EJ 9/6 Taman Ehsan Jaya di sini pukul 9.30 malam pada 22 Disember melakukan cubaan bunuh Kumaresan Ganapathy, 48, dengan cara menutup muka menggunakan sebiji bantal yang boleh menyebabkan kematian.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dibacakan bersama-sama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntuk hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh timbalan pendakwaraya, R. Nevina manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, K. Bharathi.
Terdahulu Nevina mencadangkan tiada jaminan ditawarkan kepada kedua-dua tertuduh kerana cubaan membunuh adalah kesalahan berat.
Bharathi bagaimanapun memohon jaminan dengan alasan wanita berkenaan memiliki dua anak autistik (non verbal autism) yang berusia 17 dan 21 tahun yang memerlukan penjagaan.
Bharati juga menyatakan tiada alasan bagi wanita berkenaan melarikan diri atau menghilangkan diri kerana memiliki anak orang kelainan upaya (OKU) serta mohon jaminan dengan syarat tambahan ditetapkan mahkamah.
Suami tertuduh yang bekerja di sebuah gudang di Changi, Singapura dan berpendapatan SG2,500 (RM7,900) dinyatakan hanya pulang bekerja pada waktu malam.
Bharathi juga menyatakan Kamala Sarna turut memiliki seorang anak serta isterinya berusia 38 tahun bekerja sebagai jururawat di sebuah hospital swasta dengan pendapatan RM7,000 sebulan.
Hakim Mohd Zamir membenarkan jaminan RM20,000 dengan dua penjamin bagi setiap tertuduh, menyerahkan passport kepada mahkamah dan memerintahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran.
Tertuduh juga dilarang mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan.
Beliau juga menetapkan 3 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu penyerahan dokumen.
Terdahulu media melaporkan polis Johor menahan dua individu termasuk seorang wanita dan teman lelakinya bagi membantu siasatan cubaan bunuh suami wanita berkenaan di kediaman keluarga di Taman Ehsan Jaya.
Kedua-duanya di ditahan polis sehari selepas kejadian pada 22 Disember lalu dan dipercayai ada kaitan dengan wnag tuntutan insurans.
Siasatan lanjut mendapati isteri mangsa membenarkan teman lelakinya masuk ke dalam rumah semasa mangsa sedang tidur dan memegang kaki mangsa supaya teman lelakinya dapat menekup muka mangsa sehingga menyebabkan sesak nafas.
Hasil siasatan juga mendapati dalam tempoh kira-kira seminggu sebelum kejadian, isteri mangsa kerap bertanyakan mengenai jumlah wang dan syarikat insurans yang dicarumkan oleh mangsa.- MalaysiaGazette
















