Onn Hafiz semasa mengadakan lawatan ke Jiangsu Longda Superalloy Co Ltd di Shanghai, China bulan lalu

JOHOR BAHRU – Jiangsu Longda Superalloy Co Ltd. melalui anak syarikatnya, Singda Superalloy (Malaysia) Sdn. Bhd. menyatakan komitmen untuk melabur bernilai RM900 juta di Johor.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pelaburan tersebut nanti dijangka membuka lebih 200 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam bidang kejuruteraan dan teknologi moden.

Jelasnya, syarikat berteknologi tinggi berpangkalan di Shanghai, China itu berperanan penting dalam rantaian bekalan global industri aeroangkasa, tenaga dan kejuruteraan berat.

“Lebih bermakna, pelaburan ini turut disokong melalui kerjasama strategik bersama-sama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) termasuk peluang latihan, pembangunan bakat serta tawaran sekurang-kurangnya 50 peluang pekerjaan graduan dengan pendedahan latihan di Malaysia dan China.

“Semoga usaha ini membawa manfaat kepada rakyat, membuka masa depan anak muda dan memacu Johor ke hadapan selari dengan aspirasi Maju Johor 2030. Insya-Allah,” katanya menerusi hantaran Facebook miliknya.

Onn Hafiz berkata, beliau bersama-sama delegasi Johor telah mengadakan lawatan ke Jiangsu Longda Superalloy Co Ltd pada 17 Disember lalu dan berharap inisiatif dilakukan itu dapat memastikan anak Johor bukan sekadar menjadi tenaga kerja.

Beliau berkata, mereka turut membincangkan pembentukan kluster rantaian bekalan industri bersama-sama rakan ekosistem strategik.

Usaha itu katanya, dijangka mewujudkan limpahan ekonomi lebih luas kepada syarikat tempatan, perusahaan kecil dan sederhana serta penyedia perkhidmatan di Johor.

Jelasnya, ini sekali gus mengukuhkan kedudukan Johor sebagai hab perindustrian berteknologi tinggi yang berdaya saing.

“Saya yakin usaha ini akan menjadi pemangkin kepada pelaburan berkualiti tinggi, peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran anak tempatan serta pertumbuhan ekonomi jangka panjang untuk rakyat Johor,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast