PONTIAN – Sebarang keputusan atau cadangan berkenaan hala tuju UMNO yang dikemukakan dalam Konvensyen Pemuda pada hari ini perlu dibawa dalam perhimpunan agung parti itu pada Januari ini dan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sebarang keputusan besar perlu melalui dua platform itu termasuk cadangan UMNO dan Pas menjalin kerjasama semula dalam Muafakat Nasional (MN).
“Kita tahu pada 14 hingga 17 Januari ni adalah Perhimpunan Agung UMNO dan sebelum itu ada mesyuarat MKT UMNO. Jadi apa juga keputusan yang dicadang oleh pemuda dalam konvensyen hari ini hendaklah dibawa kepada pihak MKT.
“MKT ada 55 orang. Saya amat memahami, apa juga keputusan hendaklah diputuskan dalam mesyuarat MKT UMNO dan juga Perhimpunan Agung UMNO.
“Sama ada nak ke mana, nak ke kiri, nak ke kanan, nak terus semacam biasa, itu semua diputuskan nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Cakna Ilmu Tanah: Perkongsian UTM & Komuniti Desa 2026 di Dewan Terbuka Kampung Parit Dato’ Onn, Api-Api di sini hari ini.
Pemuda UMNO hari ini menganjurkan konvensyen khas di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Konvensyen bertemakan ‘Hala tuju UMNO dalam Kerajaan Perpaduan’ itu bertujuan menyuarakan pandangan dan isi hati secara terbuka serta berani dengan menilai semula kedudukan parti dalam kerajaan kini.
Terdahulu Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Salleh secara terbuka menggesa parti menarik sokongan daripada Kerajaan Madani susulan tidak berpuas hati dengan kes Titah Adendum melibatkan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.- MalaysiaGazette
















