Onn Hafiz yang mengetuai delegasi Johor menerima cenderahati selepas mengadakan pertemuan dengan pihak Alibaba Group Holding Limited di Hangzhou, China, semalam.

JOHOR BAHRU – Johor mengadakan perbincangan strategik dengan Alibaba Group Holding Limited di Hangzhou, China, bagi meneroka peluang kerjasama yang lebih erat dalam kecerdasan buatan (AI).

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, perbincangan strategik bersama-sama Alibaba Group Holding Limited sudah pun dilakukan menerusi delegasi dari Johor ketika ini.

“Alibaba Group merupakan antara syarikat teknologi global terkemuka dalam bidang e-dagang, pengkomputeran awan, logistik pintar dan kecerdasan buatan (AI), yang menjadi pemacu utama pendigitalan perniagaan dan rantaian bekalan di peringkat antarabangsa.

“Dalam pertemuan ini, perbincangan memberi tumpuan kepada potensi memperluas peranan Alibaba di Johor, termasuk penggunaan AI, pembangunan infrastruktur digital, perkhidmatan awan serta perdagangan digital selari dengan pembagunan pusat data di Johor.

“Sebagai bukti komitmen serantau, Alibaba Cloud telah memperluaskan operasinya di Malaysia dengan pelancaran pusat data ketiga pada tahun 2025 dan merancang penambahan pusat data baharu dalam tempoh terdekat,” katanya dalam Facebook miliknya hari ini.

Beliau berkata, perkembangan itu menunjukkan keyakinan pihak Alibaba terhadap Malaysia sebagai hab teknologi dan digital di Asia Tenggara yang turut memberi peluang besar kepada Johor.

Kerajaan negeri katanya, turut mengetengahkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sebagai platform strategik bagi Alibaba mengembangkan penyelesaian digitalnya ke pasaran ASEAN.

Jelasnya, selain membuka ruang kerjasama untuk memperkasa PKS tempatan melalui pendigitalan, akses pasaran global dan pembangunan kemahiran digital.

“Semoga lawatan kerja ini menjadi langkah awal ke arah kerjasama jangka panjang yang berimpak tinggi, memperkukuh ekosistem digital Johor,” katanya.

Begitu juga katanya, mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan demi kesejahteraan Bangsa Johor.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast