Allex Seah Shoo Chin

MELAKA – Exco DAP Melaka bersedia meletakkan jawatannya  dalam Kerajaan Perpaduan di negeri ini sekiranya Barisan Nasional (BN) atau UMNO menarik diri sehingga menyebabkan pembubaran kerajaan itu.

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin berkata, pendiriannya itu selaras dengan prinsip dan komitmennya terhadap kestabilan kerajaan negeri.

Pada masa yang sama, beliau yang juga Setiausaha DAP Melaka turut mengenangkan semangat Kerajaan Perpaduan yang dibentuk pada 2023 atas jemputan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh ketika itu.

“Hari ini (semalam) YB Dr Akmal Saleh suruh UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan dan suruh DAP keluar daripada Kerajaan Perpaduan Negeri Melaka.

“Bagi saya sekiranya BN atau UMNO memilih untuk menarik diri dan membubarkan Kerajaan Perpaduan Negeri Melaka, saya akan meletakkan jawatan Exco yang terpilih sejak tahun 2023 serta merta,” katanya menerusi Facebook (FB) rasminya.

Allex yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang bagaimanapun berkata, segala keputusan hanya akan dibuat mengikut keputusan parti.

Menurutnya, Konvensyen DAP Melaka hari ini yang dihadiri Setiausaha Agung, Anthony Loke adalah platform terbaik untuk membincangkannya bersama pucuk pimpinan parti sebelum sebarang pendirian dibuat.

Semalam, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mencabar pemimpin DAP supaya meletakkan jawatan di Melaka, memandangkan parti itu juga sebahagian daripada kerajaan negeri yang diterajui BN.

Dr Akmal yang juga Exco Melaka berkata demikian menerusi ucapannya pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur semalam.

Mengulas lanjut, Allex berkata, sejak dilantik sebagai wakil PH dalam barisan Exco, beliau kekal komited berkhidmat kepada rakyat Melaka di bawah pentadbiran sedia dengan keutamaan memastikan kestabilan politik negeri dan negara.

“YAB Ketua Menteri Melaka pada ketika itu menjemput PH tubuh Kerajaan Perpaduan Negeri Melaka serta melantik saya sebagai wakil PH dalam barisan EXCO bersama YAB pada tahun 2023.

“Sehingga hari ini, saya tetap berpegang kepada semangat Kerajaan Perpaduan demi kepentingan rakyat serta masa depan Melaka,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast