Dr Mohd Aleef Yusof

MELAKA – Pembangkang Melaka melihat penyatuan orang Melayu tidak akan berjaya sekiranya hanya melibatkan dua parti iaitu UMNO dan Pas tanpa penyertaan Bersatu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof turut menempelak Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh yang didakwa hanya mahu menyatukan orang Melayu melalui gabungan dua parti Melayu itu semata-mata.

Beliau mempersoalkan pendirian ADUN Merlimau itu yang seolah-olah mengetepikan peranan Bersatu sedangkan parti itu juga merupakan parti berteras Melayu.

“Saya ingin bertanya kepada Dr Akmal, apakah Bersatu ini bukan parti Melayu? Jika kamu fikir kamu akan berjaya menyatukan orang Melayu dengan hanya penyertaan dua parti iaitu UMNO dan PAS, maka penyatuan itu tidak akan berlaku.

“Usaha menyatukan Melayu tanpa melibatkan Bersatu bukan sahaja gagal, malah akan terus memecah-belahkan orang Melayu khususnya dalam kalangan penyokong Bersatu dan Pas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas sejarah politik terdahulu, Dr Mohd Aleef mengingatkan bahawa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sendiri pernah menolak kerjasama dengan UMNO apabila diletakkan syarat penyatuan tanpa Bersatu, yang akhirnya menyebabkan Pas memilih untuk bersama Bersatu.

Dr Mohd Aleef turut menyatakan hasil Konvensyen Khas Pemuda UMNO di Kuala Lumpur semalam jelas menunjukkan kesungguhan Dr Akmal untuk bersama Pas di blok pembangkang.

“Jika begitu, saya minta Dr Akmal mulakan langkah tersebut di peringkat negeri Melaka. Letak jawatan sebagai EXCO dan mari duduk bersama kami di blok pembangkang,” katanya.

Semalam, ketika berucap pada itu, Dr Akmal menyuarakan keinginan supaya UMNO dan Pas dapat bersatu demi membentuk penyatuan orang Melayu bagi memastikan kekuatan politik orang Melayu dan umat Islam terus terpelihara.

Tambahnya, sudah tiba masanya UMNO dan Pas sebagai dua parti terbesar Melayu dan umat Islam mengetepikan perbezaan demi kepentingan agama, bangsa dan negara dalam landskap politik negara yang semakin mencabar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast