KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) Perak kekal utuh dan stabil, berteraskan semangat muafakat, setiakawan dan tanggungjawab bersama antara parti-parti komponen di sebalik peletakan jawatan Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Idris Ahmad berkata, sebarang peralihan kepimpinan akan ditangani secara tertib, berperlembagaan dan penuh hikmah.
Dalam masa sama, Idris yang juga Naib Presiden Pas merakamkan penghargaan dan berterima kasih kepada Ahmad Faizal atas komitmen, khidmat dan sumbangan beliau sepanjang menerajui PN Perak.
Ujarnya, kepimpinan Ahmad Faizal telah banyak menyumbang kepada pengukuhan struktur PN di peringkat negeri, khususnya dalam fasa mencabar landskap politik semasa yang menuntut kesabaran, kebijaksanaan dan keupayaan mengurus perbezaan secara matang.
“Saya yakin Ahmad Faizal akan terus menyumbang dalam kapasiti dan peranan lain demi memperkukuh PN serta memperjuangkan kepentingan rakyat dan negeri Perak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Idris berkata, PN Perak komited untuk terus bergerak ke hadapan dengan pendekatan kepimpinan kolektif, persediaan strategik dan tumpuan penuh ke arah menghadapi cabaran mendatang, termasuk persiapan menuju Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Sebelum ini, Ahmad Faizal yang juga Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN Perak berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Keputusan itu susulan pengumuman peletakan jawatan oleh Pengerusi PN Pusat, Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan kemelut politik yang berlaku di Perlis yang menyaksikan ketegangan hubungan antara Pas dan Bersatu. – MalaysiaGazette
















