KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia menggesa kerajaan menilai semula rancangan pelaksanaan cukai karbon dan cukai levi pekerja asing berperingkat.
Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, peningkatan had pengecualian cukai bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta menurunkan kadar cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan sewaan dilihat mampu membantu merangsang pertumbuhan sektor perniagaan berkenaan.
Ujarnya, pengukuhan ringgit terhadap syarikat berorientasikan eksport berpotensi menyebabkan harga baranga meningkat sekaligus menjejaskan daya saing di pasaran antarabangsa.
“Dari sudut perdagangan, pengukuhan nilai ringgit sememangnya membantu mengurangkan kos import barangan, khususnya bagi syarikat yang bergantung kepada bahan mentah dan produk perantaraan dari luar negara,” katanya menerusi kenyataan.
Katanya, kerajaan sepatutnya mengambil langkah proaktif untuk memulihkan dan meningkatkan keyakinan pelabur terhadap persekitaran serta prospek ekonomi dan perdagangan negara.
Jelasnya, ia boleh dijayakan menerusi dasar yang lebih stabil dan meyakinkan.
“Walaupun mata wang yang lebih kukuh lazimnya mencerminkan persekitaran pelaburan yang lebih stabil dan menarik, usaha kerajaan memperkenalkan dasar-dasar mesra perniagaan yang lebih kondusif pasti akan memberikan kesan yang lebih berkesan,” tambah beliau.
Mengulas lanjut Dominic berpandangan, adalah wajar untuk meletakkan fokus utama terhadap pemerkasaan ekonomi kepada dasar perdagangan melalui penggubalan dasar yang lebih fleksibel.
Dominic berkata, ia dilihat akan memberi impak positif bagi menghadapi perubahan serta ketidaktentuan ekonomi dan perdagangan global.
“Langkah ini penting bagi memastikan Malaysia dapat menangani kesan aliran ekonomi, perdagangan dan pelaburan global dengan lebih berkesan,” katanya lagi.
Terdahulu beliau menyifatkan, pelaksanaan e-Invois, gangguan rantaian bekalan susulan kenaikan tarif Amerika Syarikat dan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) telah memberi kesan negatif terhadap kos operasi perniagaan tempatan, khususnya PKMS.
“Walaupun Agensi Penarafan Malaysia (MARC) menyatakan ringgit berpotensi untuk terus mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat susulan jangkaan penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS serta penambahbaikan asas ekonomi domestik, namun pada pandangan saya, perkara yang lebih penting ialah kerajaan perlu membantu PMKS mengurangkan kos pengeluaran dan meningkatkan keupayaan keuntungan mereka,” katanya.
Sebelum ini dilaporkan, kerajaan bakal memperkenalkan cukai karbon secara berperingkat mulai tahun ini.
Fokus awal cukai itu adalah sektor intensif karbon seperti besi, keluli, dan tenaga untuk menyokong dekarbonisasi dan daya saing global, selari dengan inisiatif ekonomi hijau.
Manakala, sistem levi pekerja asing berperingkat juga dalam proses perancangan demi menggalakkan penggantian pekerja asing dengan pekerja tempatan melalui insentif. – MalaysiaGazette
















