KUALA LUMPUR – Pelakon, Datin Intan Najuwa tampil bersuara selepas tiga tahun berdiam diri berhubung kes saman sivil yang difailkan oleh suaminya, Datuk Ahmad Azraf terhadap pereka fesyen terkenal, Rizman Ruzaini yang mewakili syarikat mereka, Rizman Ruzaini Creations (M) Sdn Bhd.
“Setelah hampir tiga tahun memilih untuk berdiam diri, suami dan saya kini tampil secara terbuka berdasarkan keputusan mahkamah yang telah diputuskan.
“Tanpa melibatkan mana-mana pihak atau pereka fesyen lain, kenyataan ini dibuat khusus bagi menyeru pereka Fesyen Rizman Ruzaini untuk melaksanakan pembayaran semula pinjaman seperti yang telah diarahkan oleh pahkamah melalui penghakiman yang telah memihak kepada kami,” tulisnya.
Sementara itu, dokumen itu turut memberitahu mahkamah memerintahkah kadar faedah lima peratus dikenakan ke atas jumlah tersebut bermula 16 Januari 2026 sehingga bayaran diselesaikan sepenuhnya, selain kos guaman yang perlu dibayar serta merta.
Sebelum ini, Rizman Ruzaini enggan memberi sebarang komen apabila dikaitkan sebagai pihak yang berhutang dengan pelakon itu.
Salah seorang pengasas jenama tersebut, Rizman menganggap perkara itu biasa apabila nama mereka menjadi sebutan dalam isu berkaitan.
Menurut Intan, individu berkenaan pada awalnya merayu bantuan kewangan dengan pelbagai janji namun mula mengelak apabila tiba masa untuk melunaskan hutang.
Susulan kenyataan itu, nama jenama fesyen Rizman Ruzaini mula dikaitkan oleh netizen sebagai pihak yang dimaksudkan oleh Intan. – MalaysiaGazette
















