Fadhli Umar Aminolhuda.

JOHOR BAHRU – Naratif orang Melayu dan Islam sedang ditindas di bawah Kerajaan Madani bukan sahaja tidak berasas, malah bersifat manipulatif dan berbahaya.

Exco Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Fadhli Umar Aminolhuda berkata, dakwaan itu diulang-ulang bukan kerana kebenarannya, tetapi ketandusan hujah untuk mempertahankan kegagalan politik lama yang telah ditolak rakyat.

“Politik ketakutan dan sentimen sempit ini tidak menyelesaikan masalah rakyat, sebaliknya hanya merosakkan keharmonian negara.

“Hakikatnya, Kerajaan Madani hari ini terus menjaga kepentingan Melayu dan Islam secara berinstitusi, berhemah dan bertanggungjawab.

“Peruntukan kepada pendidikan Islam, pengukuhan institusi agama, agenda pemerkasaan sosioekonomi bumiputera serta usaha memastikan kestabilan politik negara terus diperkasakan.

“Ini adalah fakta yang boleh dinilai, bukan retorik kosong di pentas politik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Salleh dalam konvensyen khasnya kelmarin ketika berucap mendakwa, bahawa Islam dan bangsa Melayu sedang diinjak.

Konvensyen bertemakan ‘Hala tuju UMNO dalam Kerajaan Perpaduan’ itu bertujuan menyuarakan pandangan dan isi hati secara terbuka serta berani dengan menilai semula kedudukan parti dalam kerajaan.

Dalam konvensyen tersebut, Akmal mencadangkan agar kerjasama UMNO dan Pas dihidupkan semula dalam Muafakat Nasional (MN).

Mengulas lanjut, Fadhli Umar berkata, cadangan untuk bergabung itu atas alasan kononnya untuk menyatukan orang Melayu serta keluar daripada kerajaan Perpaduan, jelas mencerminkan kegagalan membaca realiti politik semasa.

Beliau berkata, ini juga menunjukkan keresahan segelintir pihak yang semakin kehilangan pengaruh dan kepercayaan rakyat.

Katanya, persoalan asas yang perlu dijawab secara jujur ialah adakah gabungan UMNO dan Pas benar-benar membawa perpaduan.

Dakwanya, amanat Tan Sri Hadi Awang yang sehingga hari ini tidak pernah ditarik balik telah meninggalkan luka mendalam dalam masyarakat, mengkafirkan sesama Islam, memecah-belahkan keluarga dan memporak-perandakan perpaduan umat.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah) Johor berkata, sejarah itu tidak boleh dipadamkan begitu sahaja demi kelangsungan kuasa politik.

Fadhli Umar mempersoalkan sama ada UMNO sanggup menormalisasikan kembali politik takfiri, kebencian dan perpecahan yang terbukti merosakkan masyarakat, semata-mata untuk survival politik jangka pendek.

“Bahkan konflik Kerajaan Perlis juga membuktikan parti-parti Melayu Islam sendirilah yang gagal bersatu dan bertelagah sesama sendiri sehingga jatuhnya Menteri Besar Pas dan bukan disebabkan langsung oleh DAP atau mana-mana parti bukan Melayu.

“Saya ingin menegaskan perpaduan yang dibina atas rasa takut, kebencian dan sentimen perkauman bukanlah perpaduan sebenar,” ujarnya .

Jelasnya, itu hanya penangguhan kepada konflik yang lebih besar dan sejarah politik negara telah membuktikan bahawa politik seperti itu hanya menguntungkan elit, bukan rakyat terbanyak.

Jika itu jalan yang ingin dipilih oleh Pemuda UMNO dan sekutunya, maka biarlah rakyat menjadi hakim, katanya.

Namun Amanah dan Pakatan Harapan (PH) katanya, akan kekal konsisten membawa politik rahmah yang menyatukan, mendamaikan dan membina negara untuk semua warganya.

“Kami tidak akan tunduk kepada politik retorik dan kebencian. Fokus kami kekal kepada kestabilan negara, reformasi berterusan dan kebaikan bersama demi masa depan Malaysia.

“Atau desakan Pemuda UMNO ini terbit hanya kerana Kerajaan Madani terbukti tidak mengganggu gugat urusan Mahkamah dalam isu Datuk Seri Najib dan 1MDB,” soalnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast