GEORGE TOWN – Seorang pejalan kaki maut selepas dilanggar pemandu warga asing yang disyaki berada di bawah pengaruh alkohol dalam kejadian di Jalan Lembah Permai, Tanjung Tokong di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 11.30 malam ketika wanita berusia 67 tahun sedang melintas jalan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandu lelaki berusia 51 tahun itu bergerak dari arah Mount Erskine menghala ke Tanjung Bungah sebelum melanggar mangsa.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, kenderaan terbabit melanggar mangsa yang sedang melintas dari kiri ke kanan jalan.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa tercampak ke atas jalan raya dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Abdul Rozak, ujian saringan kandungan alkohol yang dijalankan terhadap pemandu berkenaan mendapati lelaki itu disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had dibenarkan.
“Pemandu SUV terbabit ditahan bagi siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – MalaysiaGazette
















