JOHOR BAHRU – Hasrat Mohd. Shahril Asyran Abdul Aziz, 30, untuk melawat ibu bapanya tidak kesampaian apabila terlibat kemalangan maut di Jalan Dedap 1, Taman Johor Jaya di sini semalam.
Kemalangan tersebut berlaku tidak jauh dari rumah bapa mangsa, Abdul Aziz Abdul Rahim, 67, iaitu pada jarak hanya kira-kira 300 meter sahaja.
Abdul Aziz mendapat tahu mengenai kemalangan tersebut setelah dimaklumkan besannya sebelum bergegas ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini bagi melihat keadaan anaknya.
Dia tidak sempat menjenguk anak kelima daripada tujuh beradik itu di hospital setelah dikejarkan ke zon merah kerana keadaan kecederaan parah sebelum dimaklumkan telah meninggal dunia.
“Hampir setiap hari minggu dia bersama-sama isteri dan anak akan datang ke rumah saya di Jalan Bakawali, Taman Johor Jaya. Tak sangka pula hajat dia tak kesampaian.
“Tiap kali dia datang ke rumah, emaknya akan masak lauk kegemarannya, ayam sambal,” katanya kepada pemberita hari ini.
Semalam, Mohd. Shahril yang memandu Perodua Axia antara dua terkorban selepas terlibat kemalangan maut membabitkan empat buah kereta di Jalan Dedap 1.
Dalam kemalangan itu, isteri mangsa menerima rawatan di Zon Kuning HSI setelah mengalami patah tulang paha dan pinggul manakala anaknya yang berusia dua tahun dalam keadaan selamat.
Abdul Aziz berkata, jenazah anak lelakinya itu selamat dikebumikan di tanah perkuburan di kawasan Taman Impian Emas di sini pukul 3.30 petang tadi berhampiran rumah anaknya itu.
Pengerusi Surau Al-Taqwa, Jalan Bakawali itu, allahyarham tidak menunjukkan sebarang perubahan yang ketara pada dirinya sebelum terlibat kemalangan.
“Cuma yang saya perasan dia sangat mesra dengan anak saudaranya. Saya nampak mereka bermain catur dan dam bersama-sama ketika anak-anak pak cik berkumpul di rumah bulan lalu,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















