Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kontinjen Pahang di IPK Pahang, hari ini

KUANTAN – Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang catat peningkatan 18.6 peratus tangkapan bagi jenayah komersil iaitu 2,106 tangkapan bagi tempoh Januari hingga Disember 2025 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, sebanyak 3,199 kertas siasatan telah dibuka sepanjang tahun 2025 dengan nilai kerugian sebanyak RM96 juta.

“Mengikut statistik kadar pertuduhan pula, sebanyak 1,173 kertas siasatan berjaya dituduh di mahkamah dengan peningkatan sebanyak 15.5 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Yahaya Othman (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang anggota ketika Majlis Perhimpunan Bulanan Kontinjen Pahang hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Kontinjen Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini hari ini.

Bagi kes berkaitan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NSRC) pula, Yahaya memaklumkan sejumlah RM332,217.92 telah disita dan RM228,885.55 berjaya dipulangkan kepada mangsa sepanjang tahun 2025 dengan memberikan kadar pemulangan sebanyak 68.9 peratus.

Sepanjang tempoh itu, JSJK Pahang berjaya melakukan 2,106 tangkapan bersamaan 18.6 peratus dengan peningkatan 330 berbanding tahun sebelumnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) merekodkan sebanyak 11,927 kes dengan jumlah tangkapan sebanyak 13,522 di atas pelbagai kesalahan berkaitan penyalahgunaan dadah.

“Bagi nilai rampasan dadah pula menunjukkan peningkatan sebanyak RM20 juta berbanding tahun 2024 manakala nilai sitaan juga menunjukkan peningkatan sebanyak RM2.5 juta bersamaan 56.37 peratus dari tahun sebelumnya.

“Untuk kadar penyelesaian kes bagi jenayah narkotik, sebanyak 11,507 kes telah berjaya diselesaikan bersamaan dengan 96.5 peratus,” katanya.

Yahaya berkata, jumlah itu membuktikan hasil kerjasama berterusan di antara semua pihak, sekaligus memastikan usaha PDRM Pahang dalam memerangi najis dadah sentiasa dapat dizahirkan kepada seluruh masyarakat.

Menyentuh mengenai rekod kemalangan maut sepanjang tahun 2025 pula, beliau berkata, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang telah mencatatkan sejumlah 444 kes bagi kemalangan maut, peningkatan sebanyak 25 kes berbanding tahun sebelumnya.

“Namun begitu, terdapat perkembangan positif apabila jumlah saman trafik berjaya dikurangkan sebanyak 4,524 saman iaitu daripada 189,293 saman pada tahun 2024 kepada 184,769 saman pada tahun 2025, mencatat penurunan sebanyak 2.4 peratus.

“Penurunan ini memberi isyarat kepada keberkesanan pendekatan pencegahan dan kesedaran, namun masih perlu diseimbangkan dengan penguatkuasaan tegas terhadap kesalahan kritikal,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast