KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 21 Mei depan untuk mendengar permohonan penangguhan prosiding semakan kehakiman yang difailkan oleh pasukan peguam mewakili Datin Seri Pamela Ling Yueh yang dilaporkan hilang sejak April tahun lalu terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut peguam mewakili wanita itu, Surendra Ananth, pihaknya telah memohon supaya cabaran undang-undangnya terhadap SPRM digantung sementara tanpa tempoh masa tertentu memandangkan anak guamnya masih belum ditemui.
Kata Surendra ketika prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh Serjit Singh, pihaknya tidak dapat memfailkan dokumen mahkamah tanpa arahan anak guamnya, Pamela pada masa ini.
Amarjeet kemudian menetapkan 21 Mei depan sebagai tarikh bagi mendengar hujahan peguam Pamela dan pihak Jabatan Peguam Negara mengenai sama ada semakan kehakiman boleh digantung tanpa tempoh masa tertentu sebelum membuat keputusan.
Peguam Kanan Persekutuan, Faisal Noor hadir mewakili SPRM semasa prosiding hari ini.
Pamela dilaporkan hilang pada 9 April 2025 ketika dalam perjalanan ke ibu pejabat SPRM untuk memberi keterangan sebagai saksi dalam siasatan terhadapnya dan suaminya, ahli perniagaan Sarawak, Datuk Thomas Hah berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram.
Pada Mei tahun lalu, mahkamah memberikan kebenaran kepada Pamela untuk memfailkan semakan kehakiman terhadap waran tangkap SPRM yang dikeluarkan Mahkamah Majistret selepas beliau gagal hadir untuk dirakam keterangan.
Sehingga Ogos 2025, Bukit Aman memaklumkan pihaknya masih tiada petunjuk mengenai keberadaan Pamela walaupun telah merakam keterangan 48 individu dalam kes kehilangannya dan siasatan masih lagi berjalan. – MalaysiaGazette
















