Pelatih melakukan latihan simulasi penerbangan pada majlis perasmian Bangunan Simulator Akademi Malaysia Airlines Berhad (MAB) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto MOHD ADZLAN, 06 JANUARI 2026.

SEPANG – Malaysia berpotensi menjadi hab latihan dan penyelidikan penerbangan peringkat ASEAN sejajar dengan kedudukan strategik negara ini serta fasiliti latihannya bertaraf dunia.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata,  pertumbuhan pesat dalam sektor penerbangan mendorong keperluan profesional penerbangan yang mahir.

“Lokasi geografi Malaysia yang strategik dan permintaan perjalanan udara yang semakin meningkat meletakkan negara kita pada kedudukan unik bagi menjadi hab penerbangan terkemuka di rantau ini.

“Melangkah ke depan, visi jangka panjang kami adalah menjadikan Malaysia sebagai hab latihan penerbangan diiktiraf ASEAN yang menawarkan kemudahan taraf dunia, simulasi termaju teknologi, pematuhan engan piawaian global dan penekanan terhadap keselamatan serta kemampanan,” katanya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook melakukan gimik perasmian Bangunan Simulator Akademi Malaysia Airlines Berhad (MAB) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto MOHD ADZLAN, 06 JANUARI 2026.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bangunan Simulator MAB Academy di Zon Sokongan Selatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir, Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A. Bakar.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berucap sebelum merasmikan Bangunan Simulator Akademi Malaysia Airlines Berhad (MAB) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto MOHD ADZLAN, 06 JANUARI 2026.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, pelancaran Bangunan Simulator MAB Academy disifatkan sebagai satu lagi langkah penting ke arah merealisasikan visi negara dan memperkukuh ekosistem latihan penerbangan.

Institusi latihan yang mantap amat penting dalam memastikan pertumbuhan sektor itu disokong oleh tenaga profesional yang kompeten, mementingkan keselamatan dan bersedia menghadapi masa depan, katanya.

“Pengembangan sektor penerbangan, keperluan terhadap juruterbang, kru kabin, jurutera, kakitangan keselamatan dan pakar penerbangan yang berkemahiran tinggi akan terus meningkat.

“Kemudahan baharu ini merupakan satu pelaburan yang tepat dan penting bagi masa depan penerbangan Malaysia dan mencerminkan komitmen bersama terhadap keselamatan, pembangunan kemahiran serta daya tahan industri jangka panjang,” ujarnya.

Jelasnya lagi, Kementerian Pengangkutan secara konsisten menekankan kepentingan memperluas dan meningkatkan program latihan penerbangan, memandangkan kecemerlangan latihan merupakan asas kepada keselamatan, kualiti operasi dan daya saing global.

“Pelaburan dalam kemahiran dan latihan bukan sekadar memenuhi keperluan industri turut membantu memupuk masyarakat yang menghargai sains, pemikiran kritikal dan pembuatan keputusan berasaskan bukti, kualiti yang menjadi teras kepada keselamatan penerbangan serta pembangunan negara,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast