Aznan (kiri) dan Prof. Yanming (kanan) menyaksikan MoU melibatkan UTM dan Universiti Zhejiang di Hangzhou, China, baru-baru ini.

JOHOR BAHRU – Johor Talent Development Council (JTDC) membuka lembaran baharu dalam bidang penyelidikan dan inovasi berimpak tinggi apabila bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Zhejiang dari China.

Kerjasama itu dimeterai menerusi satu Memorandum Persefahaman (MoU) strategik melibatkan UTM dan Universiti Zhejiang di Hangzhou, China baru-baru ini, iaitu sebuah universiti bertaraf dunia yang berada di kedudukan ke-47 terbaik global.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin  berkata, MoU itu memberi tumpuan kepada penubuhan Makmal Bersama untuk Kecerdasan Buatan (Joint Laboratory for AI:JL-AI) antara Fakulti Kecerdasan Buatan, UTM serta Kolej Sains Maklumat dan Kejuruteraan Elektronik, Universiti Zhejiang.

“UTM menjadi rakan strategik kedua dari Malaysia selepas Universiti Malaya yang menjalinkan kerjasama rasmi dengan Universiti Zhejiang.

“Kerjasama ini memfokuskan dua teras utama iaitu pertukaran akademik serta mobiliti pelajar, penyelidik dan ahli akademik di samping sokongan biasiswa khas daripada Universiti Zhejiang khusus untuk anak-anak Johor,” katanya dalam kenyataan.

Beliau yang mengetuai delegasi JTDC melakukan lawatan kerja disambut oleh Presiden Universiti Zhejiang, Prof. Yanming Ma serta menerima taklimat khas di Kolej Sains Maklumat dan Kejuruteraan Elektronik yang mempamerkan teknologi terkini dan keupayaan penyelidikan bertaraf antarabangsa dalam bidang AI dan kejuruteraan elektronik.

Aznan berkata, inisiatif strategik itu membuktikan komitmen serius kerajaan negeri dalam membina rangkaian global pendidikan tinggi, memperkukuh ekosistem penyelidikan dan memastikan anak mudanya mendapat akses kepada peluang akademik serta teknologi terbaik dunia.

Beliau yakin kerjasama itu akan menjadi pemangkin penting dalam membangunkan saluran bakat anak muda Johor, menyokong ekosistem AI negeri yang mampan dan merealisasikan aspirasi Johor sebagai negeri maju dan berdaya saing menjelang 2030. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast