KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad terjatuh di atas treadmill ketika menjalani rutin senaman hariannya sebelum ke pejabat, kata peguam beliau, Muhammad Rafique Rashid Ali.
Katanya, walaupun bekas Perdana Menteri itu sedang dirawat akibat kecederaan yang dialaminya, beliau masih menunjukkan semangat yang tinggi dan sempat bergurau dengan kakitangan serta pasukan keselamatannya.
“Pada mereka yang tidak tahu. Rutin harian Tun sebelum ke Pejabat adalah brisk walk atas treadmill. Hari hari. Wajib sebelum sarapan sebelum ke Pejabat.
“Hari ini pula, sama. Cuma kali ini terjatuh semasa turun treadmill. Kehendak Allah SWT. Lantas ke IJN (Institut Jantung Negara).
“Sebab perkara pertama Tun kata pada anggota keselamatan atau pasukan ADC beliau, ‘Tak boleh pergi ke Pejabat la macam ni…’,” katanya.
Pejabat Dr. Mahathir hari ini mengesahkan Mahathir mengalami patah tulang pada bahagian pinggul kanan selepas menjalani pemeriksaan perubatan susulan insiden terjatuh di kediamannya awal pagi tadi.
Perkara itu dimaklumkan oleh Sufi Yusoff daripada Pejabat Dr. Mahathir menerusi satu kenyataan ringkas hari ini.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
















