KUALA LUMPUR – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) merakamkan rasa dukacita dan kesedihan yang amat mendalam atas pemergian seorang pelajarnya, Allahyarhamah Syakirah Hanan Mazli yang terlibat dalam kemalangan jalan raya semalam.
Pemergian Allahyarhamah yang merupakan pelajar Semester 2, Diploma Pascasiswazah Pendidikan bukan sahaja satu kehilangan besar buat keluarga tercinta malah turut dirasai oleh seluruh warga UniSZA yang bersedih atas kehilangan seorang pelajar yang sedang menuntut ilmu dan membina masa depan.
Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Fadzli Adam turut hadir menziarahi keluarga Syakirah Hanan di Unit Forensik sebagai tanda keprihatinan dan sokongan moral kepada ahli keluarga yang terkesan.
Beliau turut bersama menunaikan solat jenazah Allahyarhamah sekali gus mencerminkan keakraban dan nilai kebersamaan antara pihak pengurusan universiti dan warganya.
Dalam satu kenyataan rasmi, pihak pengurusan tertinggi UniSZA merakamkan ucapan takziah dan simpati yang setulusnya kepada seluruh ahli keluarga Allahyarhamah serta mendoakan agar mereka diberikan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi dugaan yang amat berat ini.
“Sebagai tanda keprihatinan dan tanggungjawab kebajikan universiti terhadap warganya, UniSZA akan menyalurkan beberapa bentuk bantuan kepada keluarga Syakirah Hanan.

“Antara bantuan yang disediakan ialah khairat kematian pelajar berjumlah RM1,000, sumbangan pampasan kematian sebanyak RM5,000, bantuan pengurusan jenazah berjumlah RM1,000 serta tuntutan insurans pelajar sebanyak RM12,000 tertakluk kepada terma dan syarat yang berkuat kuasa.
“UniSZA turut mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat oleh Allah SWT, diampunkan segala dosa, diterima segala amal kebajikan, serta ditempatkan dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman dan beroleh kedudukan yang mulia di sisi-Nya.
“Sesungguhnya, kehilangan ini menjadi peringatan kepada semua tentang hakikat kehidupan serta kepentingan untuk saling mendoakan dan menyantuni antara satu sama lain dalam menghadapi saat-saat sukar,” kata kenyataan itu di media sosial UniSZA.
Semalam media melaporkan, penuntut UniSZA terbunuh selepas kereta dipandunya dirempuh sebuah kereta yang sedang menuruni bukit berhampiran simpang empat, Jalan Kemajuan, Kuala Terengganu.
Kejadian berlaku ketika mangsa yang berasal dari Taman Perdana Ayer Hitam, Johor, dikatakan dalam perjalanan ke Jalan Bukit Kecil pukul 1.38 tengah hari.
Ketika membelok ke kanan selepas lampu isyarat bertukar warna hijau, secara tiba-tiba kereta dipandu mangsa dirempuh sebuah kereta dipandu seorang lelaki ketika menuruni bukit. – MalaysiaGazette
















