KUANTAN – Enggan diketahui teman lelaki berkenaan kerugian kalah judi berjumlah RM10,000.00, seorang wanita warganegara asing nekad membuat laporan palsu mendakwa disamun di Genting Highlands, Bentong.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima laporan dibuat wanita berusia 25 tahun itu kira-kira jam 10.30 malam semalam.
“Dalam laporan tersebut, wanita itu memaklumkan bahawa dia disamun oleh dua perempuan warganegara asing kira-kira jam 5.30 petang semalam di hadapan lif sebuah hotel di Genting Highlands.
“Bertindak atas laporan polis yang dibuat, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Bentong menjalankan siasatan dan mendapati suspek telah membuat satu laporan polis palsu kerana kejadian samun yang dilaporkan adalah tidak wujud berdasarkan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV),” katanya dalam kenyataan.
Jelas Zaiham, hasil siasatan lanjut polis Bentong mendapati suspek telah bermain judi di pusat perjudian dan telah mengalami kerugian sebanyak RM10,000.00 dan membuat laporan palsu itu bagi mengelak dimarahi teman lelakinya.
Tambahnya, suspek malahan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri semasa siasatan dilakukan.
“Pegawai penyiasat jenayah dari IPD Bentong yang menjalankan siasatan telah membuat satu laporan polis ke atas wanita berkenaan kerana telah membuat laporan polis palsu.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membuat satu maklumat palsu dengan niat menyebabkan penjawat awam menggunakan kuasanta yang sah di sisi undang-undang yang mendatangkan bencana kepada orang lain,” katanya lagi.
Zaiham berkata, jika sabit kesalahan, wanita itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000.00 atau kedua-duanya.
Beliau memaklumkan bahawa suspek turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 kerana tidak memiliki paspot yang sah untuk masuk dan tinggal di Malaysia. – MalaysiaGazette
















